SEPERTI sebilangan besar peminat bola sepak yang berteka-teki berapa jaringan gol yang akan disumbat skuad negara malam ini, pelakon terkenal Rozita Che Wan atau Che Ta tidak ketinggalan berdebar untuk menantikan detik tersebut.

Bahkan, apa yang membuatkan dia lebih teruja mengenai perlawanan malam ini ialah menanti jaringan gol yang bakal dilakukan adik iparnya, Zaquan Adha yang juga kapten skuad Harimau Malaya.

Dalam entri yang dimuat naik dalam laman Instagram peribadinya, Che Ta mengambil kesempatan menitipkan ucapan selamat maju jaya buat Zaquan iaitu suami kepada adiknya, Ayu Raudah.

“Terfikir jgk bqapa ketui gol adik ipaq kami nak sumbat mlm ni...good luck adik ipaq,” tulis Che Ta lagi.

Che Ta turut mengajak penyokong skuad kebangsaan untuk bersama-samanya ke Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini untuk menyaksikan perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki 2018 yang menyaksikan pasukan Malaysia menentang pasukan Vietnam.

Kata Che Ta, dia akan tiba di stadium lebih awal supaya berpeluang mengambil gambar dengan lebih cerah.

“Haqi ni nk p stadium awai sikit .. ambik gambaq time ceqah baqu la letup .. lagi pun sure jam tahap gaban kan uols .. apa pun kita jmpa malam ni kt stadium...” kata Che Ta yang ditemani suaminya, Zain Saidin, anaknya, Aaisyah Dhia Rana serta adik iparnya yang juga pelawak Lan Pet Pet.

Sekalipun hanya ke stadium untuk menonton perlawanan bola sepak, namun Che Ta tetap memastikan penampilannya terjaga dengan mengenakan jersi bola beserta jaket dan boot.

Posting tersebut menarik perhatian pengikutnya yang rata-rata tak sabar hendak melihat gayanya ke stadium malam ini.