SELEBRITI Chef Zamzani Abdul Wahab yang lebih dikenali sebagai Chef Zam akan mengembangkan bakatnya dalam bidang lakonan drama televisyen, tidak lama lagi.

Menurut Chef Zam, beliau menerima tawaran dari JS Production untuk berlakon dalam drama bersiri 'Ahli Mesyuarat Tingkap' terbitan Sheila Rusly.

"Pengambaraan untuk drama yang membabitkan diri saya akan dibuat pada 4 dan 5 Februari depan," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran dan demonstrasi masakan menggunakan periuk seramik Chefology Marble Ceramic Cookware (Chefologi Swiss) di sini pada Selasa.

Chef Zam berkata beliau akan berlakon dalam 10 adegan drama berkenaan yang akan disiarkan di sebuah stesen televisyen swasta pada Mac ini.

Drama berkenaan merupakan drama bergenre komedi ringan yang turut dibintangi Rita Rudaini, Izreen Azminda dan Sherry Alhadad.