TIDAK perlu menunggu hadiah daripada sesiapa, pelakon Mira Filzah memutuskan untuk membeli sendiri cincin yang disifatkannya sebagai hadiah tahun baharu.

Menerusi entri di Instagram, kata Mira, biarpun dia tidak gemar memakai aksesori, namun dia menunggu untuk menerima sebentuk cincin daripada insan istimewa.

Bagaimanapun untuk tahun baharu, Mira memilih untuk menghadiahkan sebentuk cincin untuk dirinya sendiri, dan menganggap ia sebahagian daripada simbol kekuatan seorang wanita.

"Saya mahu cincin itu mempunyai nilai dan kenangan yang dapat saya hargai setiap kali saya melihatnya. Saya mahu cincin itu menjadi istimewa, kerana ia adalah satu-satunya aksesori yang akan saya pakai setiap hari.

"Tetapi hari ini saya buat keputusan untuk beli sendiri. Cincin yang sempurna adalah yang anda beli untuk diri anda sendiri, sebagai simbol kasih sayang dan kekuatan," tulis Mira.