SETELAH sukses dengan lagu Amalina, penyanyi Santesh bakal muncul dengan single terbaru yang bertajuk Mymuna.

Singe terbabit merupakan kesinambungan kepada lagu Amalina dan bakal dilancarkan bersama muzik video pada bulan hadapan.

"Saya sangat gembira dan bersyukur apabila lagu Amalina mendapat sambutan hangat. Bayangkan, kedua-dua versi iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Tamil meraih jutaan tontonan di laman YouTube.

"Amalina versi Bahasa Melayu mendapat lebih 25 juta tontonan manakala versi Bahasa Tamil pula mendapat 6.3 juta tontonan. Single terbaru saya, Mymuna bakal muncul bulan hadapan.

"Saya sudah tidak sabar menantikan reaksi dan penerimaan peminat. Saya harap mereka dapat menerima lagu Mymuna," kata Santesh.

Santesh ditemui di majlis pelancaran single Danial Zaini dan Issey serta majlis pengenalan artis di bawah naungan DATU Entertainment di Wisma Datu, Shah Alam baru-baru ini.

Dalam pada itu, Santesh meletakkan sepenuh keyakinan lagu ini dapat menambat hati peminatnya.

"Jika mereka gemarkan lagu Amalina, mereka mesti sukakan lagu Mymuna. Lagu ini juga menampilkan muzik video yang mempunyai jalan cerita tersendiri.

"Saya yakin, mereka mesti suka, 'confirm' 200 peratus," seloroh Santesh mengakhiri perbualan.