Debaran pencarian penyanyi cover terbaik tanah air kini semakin terasa apabila keputusan senarai pendek peserta yang berjaya mara ke peringkat seterusnya bakal diumumkan petang ini.

Pertandingan Cover Star ERA yang bermula sejak 2 April lalu telah mendapat kira-kira 10,000 penyertaan di Instagram dengan pelbagai gaya olahan muzik namun hanya sembilan peserta sahaja yang bakal dipilih untuk melepasi sesi saringan yang seterusnya.

Peserta yang layak ke pusingan seterusnya akan berpeluang untuk berguru dengan penyanyi terkenal tanah air seperti Sufian Suhaimi, Hael Husaini, Khai Bahar dan Syamel yang turut menjadi juri mengadili mereka sepanjang pertandingan.

Penonton boleh menyaksikan ujibakat Cover Star Era yang akan bersiaran secara langsung menerusi Facebook Live mereka bermula jam 2 petang ini.

Terdahulu, peserta dikehendaki memuat naik video berdurasi satu minit di laman sosial Instagram menggunakan hashtag #CoverStarERA bagi membolehkan penyertaan mereka ditonton oleh para juri.

Cover Star Era ini menguji daya kreativiti peserta apabila mereka perlu memilih lagu dari senarai yang disediakan dan mempersembahkan lagu tersebut bersama alat-alat muzik pilihan mereka.