WALAUPUN Perintah Kawalan Pergerakan sedikit sebanyak membataskan aktiviti harian penggiat industri hiburan tanah air, namun mereka bersikap prihatin terhadap pelaksanaan itu.

Selain memberi pesanan kepada peminat untuk kekal tinggal di rumah, keadaan itu, bagaimanapun, tidak menghalang penggiat seni terutamanya penyanyi untuk menghiburkan peminat yang turut menjalani kuarantin kendiri menerusi laman sosial peribadi mereka.

Antara barisan artis tanah air yang dilihat memberi peringatan dan memberi hiburan kepada peminat ialah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Aizat Amdan, Naim Daniel dan Alif Satar.

Penyanyi nombor satu negara Siti Nurhaliza misalnya memuat naik fotonya memegang sekeping kertas beserta mesej di Twitter dengan kapsyen, “Pengawalan Pergerakan. Duduk Di Rumah. Stay At Home. Tolong jangan sebarkan lagi virus ini. #dudukrumah #stayathome,” tulisnya.


Semalam, beliau turut menggunakan kaedah bersahaja dalam mendidik masyarakat dengan menggunakan tajuk single terbaharu beliau '7 Nasihat' sebagai memberikan panduan kepada pengikut di laman sosialnya.

BACA: COVID-19: '7 Nasihat' Siti Nurhaliza kepada peminat sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan

Sementara itu, lebih menarik apabila Aizat Amdan yang popular dengan lagu ‘Hanya Kau Yang Mampu’ mengubah lirik asal lagu itu bersesuaian dengan situasi masyarakat berdepan kawalan pergerakan ketika ini.

“Harusnya kau patuhi perintah berkurung, bukannya beli tiket balik kampung, berita yg membuatku panik takkan berakhir, hanya engkau yang mampu hentikan virus ini, duduk rumah ooohh,” demikian memetik bait lirik oleh Aizat yang berbentuk nasihat supaya tinggal di rumah.


Selain itu, pelantun lagu ‘Sumpah’, Naim Daniel turut mencuit hati pengikutnya di Instagram dengan mengenakan lagu nyanyian artis lagenda, Alleycats berjudul, ‘Kerana’.

Namun, apa yang menarik, Naim menggantikan perkataan ‘kerana’ di dalam lagu itu dengan ‘korona’, merujuk kepada nama virus COVID-19.


Dalam masa sama, penyanyi dan pengacara terkenal, Alif Satar turut menghiburkan peminatnya di Instagram dengan mengadakan sesi ‘karaoke kuarantin’.


Meskipun usaha selebriti negara dalam mendidik sambil menghiburkan pengikut mereka di laman sosial boleh dikatakan agak minima, namun masyarakat perlu mengambil serius terhadapa pelaksanaan ini dalam usaha mengekang pandemik COVID-19.