PIHAK polis yang menyiasat kematian bintang pop Prince setahun lalu memberitahu mereka menemui pelbagai jenis dadah penenang berselerakan di kediamannya, namun masih belum mengenal pasti pihak yang membekalkan dos dadah fetanil iaitu penyebab kematian penyanyi itu.

Semua maklumat itu didedahkan daripada dokumen mahkamah pada Isnin, lapor Reuters.

Berdasarkan afidavit dan laporan waran geledah, beberapa jenis ubat penahan sakit yang dijumpai di kompleks Paisley Park, pinggir Minneapolis itu menunjukkan preskripsi atas nama rakan dan pengawal peribadi Prince.

Kebanyakan pil dijumpai di bilik tidur Prince dan bilik pakaiannya, dan tiada preskripsi dijumpai untuk fentanil - dadah yang 50 kali lebih kuat daripada heroin.

Rekod mendedahkan bahawa Prince mendapat ubat penahan sakit beliau daripada beberapa orang, termasuk bantuan seorang doktor tempatan, Michael Schulenberg yang mula merawat Prince beberapa bulan sebelum kematiannya.

Namun, Schulenberg berkata beberapa preskripsi disediakan atas nama Kirk Johnson, pengawal Prince, untuk melindungi privasi Prince.

Menurut pendakwa raya, Carvey County, dokumen laporan siasatan disimpan sehingga Isnin kerana bimbang suspek berpotensi melarikan diri atau keterangan dimusnahkan.

Kaedah penyiasatan itu termasuk meneliti carian komputer Prince, rekod telefon bimbit kawan-kawannya dan temu bual dengan kenalan terdekat.

Prince, 57, ditemui mati di kompleks Paisley Park pada 21 April 2016.