PELAKON Kamal Adli sudah bersedia sekiranya soalan mengenai jodoh dan perkahwinan sekali lagi menjadi topik perbualan apabila tibanya Syawal.

Kata Kamal, 32, dia hanya mampu mengharapkan soalan yang diajukan itu satu doa buatnya.

"Doa yang baik-baik, tentang jodoh susah untuk saya ulas sebab semuanya urusan Allah. Kalau ada, adalah. Saya redha dan berdoa kalau betul jodoh yang Allah tentukan, saya harap itulah dia.

"Saya tak tertekan pun kalau ditanya soal kahwin sebab saya ada banyak lagi kerja untuk dilunaskan. Saya juga pasti soalan inilah yang akan diajukan apabila raya nanti. Tapi saya sudah bersedia dengan jawapan," katanya kepada Gempak.

Kamal ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri Banteras di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya baru-baru ini.

Tiada yang lain, pelakon Emma Maembong merupakan wanita paling rapat dan menjadi individu yang kerap digosipkan dengan Kamal.

Dalam perkembangan lain, Kamal bakal muncul dalam beberapa rancangan khas Aidilfitri nanti antaranya Sha & Shah Raya, Bocey & Friends Raya dan Pok Ya Raya.

Teks oleh: Amri Hassan
Foto: @kamaladli