Penyanyi terkenal era 80-an, Datuk Dahlan Zainuddin, 75 dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur selepas terkena serangan angin ahmar secara tiba-tiba dirumahnya pada Khamis lalu pukul 5 pagi.

Menurut anak perempuannya, Athinia Inez Dahlan, ayahnya kini stabil walaupun pergerakan ayahnya kini agak terbatas akibat serangan itu.

"Ayah masih belum boleh berjalan, tapi kalau bercakap bolehlah. Oleh sebab sebelah kiri ayah terkena angin ahmar, jadi ayah tidak boleh bergerak sangat, sikit boleh lah sebab dia tak rasa badan sebelah kiri,", katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Ahad.

Athinia juga berkata, ayahnya kini dijaga oleh ibunya, Datin Effa Rizan di hospital.

Tambahnya, doktor masih belum mengesahkan punca sebenar serangan angin ahmar berkenaan.

Pada masa sama, Athinia berharap, peminat ayahnya serta orang ramai mendoakan untuk kesihatan ayahnya agar ihat kembali seperti sedia kala, lebih-lebih lagi Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang beberapa hari sahaja lagi.

Pada Khamis lalu, Dahlan dikejarkan ke sebuah klinik kesihatan di Kangar sebelum dirujuk ke Hospital Padang Besar dan ditahan selama satu malam, sebelum dibenarkan dibawa pulang ke Kuala Lumpur.