Akhbar ternama Amerika Syarikat, The New York Times (NYT), membatalkan satu temu bual bersama pemenang anugerah Golden Globes, James Franco, selang beberapa hari selepas pelakon dan pengarah itu dilemparkan dengan dakwaan seksual.

Temu bual itu adalah sempena acara TimesTalk yang sepatutnya berlangsung pada Rabu.

Antara lain acara bertujuan membantu mempromosikan filem terbaru Franco, “The Disaster Artist” yang turut menampilkan adiknya, Dave Franco.

Dalam satu kenyataan, NYT memaklumkan ia membuat keputusan sedemikian selepas memperhalusi kontroversi yang melanda penggiat seni itu baru-baru ini.

Pelakon Violet Paley dan penggiat filem, Sarah Tither-Kaplan masing-masing pernah mendakwa Franco berkelakuan tidak senonoh secara seksual terhadap mereka menerusi penulisan di akaun Twitter.

Franco pada masa ini berada di New York untuk menghadiri Majlis Rebiu Kebangsaan sambil berkongsi mengenai filemnya. Franco tidak memberi sebarang komen kepada wartawan di lokasi yang cuba mendapatkan reaksinya mengenai dakwaan seksual tersebut.

Malah, Franco dan pasukan publisitinya juga tidak menjawab sebarang pertanyaan yang dihantar menerusi emel kepadanya.

Pada hari yang sama ketika membuat kemunculan di “The Late Show” bersama Stephen Colbert, Franco turut ditanya mengenai dakwaan itu.

Namun Franco cuma berkata, dia terdengar mengenainya semasa menjadi kecoh di Twitter sebelum ini.

"Bagaimanapun, saya boleh tegaskan bahawa tuduhan tidak benar. Pada masa sama, saya juga menyokong mana-mana wanita yang berani bersuara untuk menegakkan keadilan,'' kata Franco dalam program itu.

Sementara itu, pemenang Oscar, Michael Douglas, menafikan penglibatannya dalam satu kes gangguan seksual yang didakwa berlaku 30 tahun lalu.

Namun, dakwaan gangguan seksual itu belum tersebar luas memandangkan ia tidak diterbitkan di mana-mana akhbar, televisyen atau platform media sosial.

Dalam satu temubual bersama Deadline, Douglas berkata, dia menunggu jika ada penerbitan sebuah laporan yang bakal mendedahkan dakwaan kononnya dia berlakukan tidak senonoh ke atas seorang bekas pekerjanya, 32 tahun lalu.

Kata Douglas, dia mengambil keputusan untuk tampil menafikan dakwaan tersebut sebelum ia tersebar dan menjadi parah.

Malah, pelakon "Basic Instinct" yang juga suami kepada pelakon Catherine Zeta Jone itu turut menyifatkan semua dakwaan gangguan seksual itu satu penipuan.

Tahun lepas, pentas Hollywood diselubungi siri kontroversi dakwaan gangguan seksual oleh penggiat seni dimulai dengan Harvey Weinstein dan Kevin Spacey selain Slyvester Stallone.

Kontroversi itu turut membayangi Anugerah Golden Globe ke-75, yang berlangsung baru-baru ini di Beverly Hills apabila ramai pelakon lelaki dan wanita bersatu memakai pakaian berwarna hitam sebagai tanda protes.