PASANGAN bintang popular Bollywood, Deepika Padukone dan Ranveer Singh, berkahwin di Itali, lapor media India hari ini.

Menerusi laporan AFP, mereka berkahwin dalam satu majlis tertutup di Lake Como semalam.

Namun, sehingga kini mereka belum memberi ulasan atau menyiarkan gambar majlis berkenaan yang ditutup kepada media.

Padukone, ialah antara aktres menerima bayaran termahal di India dan pernah membintangi filem Hollywood, ‘xXx: Return of Xander Cage’, di samping Vin Diesel.

Pasangan itu dilaporkan akan membuat dua resepsi- satu di Bengaluru pada 21 November untuk keluarga dan sahabat mereka dan pada 28 November di Mumbai untuk rakan-rakan seperjungan pasangan Bollywood itu.



Pada bulan lalu, Padukone, 32, dan Singh 33, mengumumkan akan berkahwin pada 14 dan 15 November.
Mereka dilaporkan mula menjalin hubungan pada 2013 tetapi merahsiakan hubungan cinta mereka.

Pengarah filem Karan Johar, yang juga rakan kepada pasangan itu, mengucapkan tahniah menerusi tweet.
“Pasangan yang cantik dan menawan! Tahniah! Sayang kamu berdua!” tulisnya semalam.



Pasangan pengantin itu pernah berlakon bersama termasuk epik kontroversi awal tahun ini yang mencetuskan bantahan ganas di utara India.

Padukone melakonkan watak ratu Hindu dan Singh sebagai pemerintah Islam dalam filem itu, yang menaikkan kemarahan golongan konservatif, sebahagiannya membakar set perfileman dan mengancam kedua-dua pelakon berkenaan.

Selain itu, seorang lagi pelakon, Priyanka Chopra dan penyanyi Amerika Syarikat, Nick Jonas, dijangka berkahwin di India awal bulan depan.