Tutup

'Dengarlah jeritan batinku' - Single terbaharu terjemah kisah duka Akim

'Dengarlah jeritan batinku' - Single terbaharu terjemah kisah duka Akim
Akim & The Majistret (ATM).
APABILA diduga dengan pemergian insan tersayang, ia memang suatu pengalaman yang sangat memeritkan.

Apatah lagi bila insan itu adalah seorang wanita bernama ibu yang melahirkan, membesarkan, mendidik dan sentiasa mendoakan kesejahteraan anaknya.

Begitulah kisah yang cuba diangkat dalam "Rampas", single terbaharu dari band popular tempatan, Akim & The Majistret (ATM). 

Bagai menggambarkan jeritan batin penyanyi band ini sendiri, Akim Ahmad yang kehilangan ibu tercinta pada Mei lalu, lagu ini bercerita tentang peritnya kehilangan, pengalaman pahit yang menginsafi diri dan mengajar erti reda.
Bait-bait lirik dalam "Rampas" ini seolah-olah cuba menterjemahkan apa yang dilalui oleh Akim. 

Penyampaian Akim yang sarat dengan emosi dalam melagukan setiap patah kata diiringi dengan gubahan muzik yang cukup dinamik menyerlahkan lagi elemen melankoli yang mampu meresap ke dalam jiwa dan menghantui halwa telinga pendengar. 
Rampas membawa konsep pop-rock balada sama seperti lagu hits mereka terdahulu seperti "Potret" dan "Mewangi", ATM tetap mengekalkan bunyi khas mereka namun permainan instrumen di dalam lagu ini diberi kelainan dengan suntikan elemen muzik retro. 

"Rampas" merupakan karya ciptaan Akim Ahmad Zimi yang masing-masing menggunakan nama pena, Hang Nadim dan Laq. Manakala lirik pula ditulis oleh Stacy Anam dibawah nama pena, Bunga Cantik.

Lagu ini telah dilancarkan pada 7 September lalu dan ia diterbitkan oleh Rhythm & Rhyme Entertainment, syarikat rakaman milik Akim dan Stacy dengan kerjasama Nova Music Malaysia sebagai pengedar.