Exco Puteri UMNO, Dira Abu Zahar berkata, bahawa beliau tetap istiqamah dalam perjuangan UMNO, meskipun parti itu tidak lagi menjadi pemerintah pusat kini.

Jelasnya, beliau ada sebab untuk berbuat demikian, kerana UMNO parti yang cukup dekat dengan perjalanan hidupnya.

“UMNO terkubur? Saya akan tetap bersama UMNO/BN, saya teruskan juga walaupun sehingga jadi pembangkang yang lama.

“Saya akan setia, pandai atau tidak pilihan itu, saya minta maaf kerana tak boleh nak puas hati semua orang, jadi saya mohon kita hormati hak sesama kita,” katanya dalam Program FB Live, Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu mengulas perkembangan terkininya, Dira memaklumkan bahawa beliau sudah lama berhenti berlakon.

“Saya memang tidak akan berlakon lagi, walau saya tiada ‘job’ saya tidak kisah sebab tak berlakon lagi, jadi jangan risau dan saya rasa saya lebih selesa apa yang saya buat sekarang (berniaga dan berpolitik).

“Jadi saya harap masyarakat faham... tiada lagi ungkapan bila dah jadi pelakon, kepada anda saya tak akan menyemak di televisyen lagi dan untuk makluman saya sudah berhenti jadi pelakon tiga tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, ketika menyentuh mengenai kelantangannya di media sosial, Dira berkata, itu memang caranya.

“Saya tak berniat nak cetuskan apa-apa, itu yang saya lalui... lagi satu saya memang seorang yang kuat bergurau,” katanya.