Pengarah Quentin Tarantino mendakwa Disney sedang cuba menyingkirkan karya terbaharu beliau The Hateful Eight dari ditayangkan di pawagam tersohor Cinemarama Dome bagi menyediakan ruang tayangan buat filem terkini Star Wars, The Force Awakens.

“Mereka dah melampau menindas saya,” ujar Tarantino dalam satu temubual rancangan radio, Howard Stern Sirius.

Menurut Tarantino, filem terbarunya The Hateful Eight sepatutnya bakal ditayangkan di pawagam tersohor Los Angeles itu bermula Krismas.

Walau bagaimanapun, beliau mendakwa filem itu telah pun disingkirkan bagi membuka ruang kepada Disney untuk memanjangkan tempoh tayangan di pawagam tersebut sepanjang cuti musim sejuk.

“Ini berita buruk dan saya sangat marah,” pengarah Inglorious Basterds itu memberitahu Stern.

Pemilik Cinemarama Dome, Arclight Cinemas telah cuba memberitahu Disney bahawa mereka akan menayangkan The Hateful Eight pada Krismas berdasarkan perjanjian yang termeterai namun menurut Tarantino, eksekutif Disney telah mengugut Arclight akan menarik balik filem Star Wars dari semua cawangan pawagam Arclight yang lain.

“Ini satu tindakan jahat, satu peras ugut,” tambah beliau.

Pengarah kontroversi itu pantas menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai sebarang masalah dengan pengarah Star Wars, J.J. Abrams atau mana-mana pelakon dan krew filem tersebut.

Sebaliknya, beliau menyalahkan eksekutif tertinggi Disney atas amalan peras ugut seperti itu.

Beliau turut memberitahu rancangan tersebut bahawa beliau ‘telah banyak menyumbang pendapatan kepada Disney’ ketika gergasi media itu dimiliki oleh Miramax menerusi blokbuster Pulp Fiction yang menjana 214 juta dolar dan francais Kill Bill yang meraih 333 juta dolar.

“Mereka ada filem terbesar di dunia. Ini cuma hanya satu pawagam dan mereka masih mahu menindas saya,” keluh Tarantino.