SEORANG ahli politik Korea Selatan, Ahn Min Seok pada Rabu telah mengulangi permintaan untuk kumpulan sensasi BTS mengadakan konsert di Pyongyang, Korea Utara.

Konsert itu merupakan sambutan ulang tahun pertama Deklarasi Bersama Pyongyang yang dimetrai ketika Sidang Kemuncak Antara Korea yang berlangsung September lalu.

Sebagai maklum balas, pihak pengurusan BTS memberi kenyataan ringkas yang cukup berhati-hati.

“Tidak ada apa yang kami boleh katakan mengenai konsert itu pada ketika ini”, kata Big Hit Entertainment pada hari yang sama.

Konsert berkenaan akan diadakan di Stadium May Day yang merupakan stadium yang terbesar di dunia yang boleh memuatkan 150,000 penonton pada satu-satu masa.

Memetik laporan AllKpop, Min Seok menjelaskan, dia mahu berkongsi budaya K-Pop bersama dengan rakyat di Korea Utara.

“Saya akan dapatkan artis Korea Selatan yang lain jika BTS tidak dapat memberikan komitmen”, kata Min Seok yang juga pengerusi Jawatan kuasa Kebangsaan Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan Korea Selatan.

Menurutnya lagi, konsert itu kelak boleh menjadi konsert solo BTS ataupun konsert dengan gabungan beberapa artis Korea.

Cadangan itu bagaimana mendapat protes daripada peminat BTS atau lebih dikenali sebagai ARMY yang bertegas enggan kumpulan kesayangan mereka dijadikan alat untuk tujuan politik.

BTS akan memulakan siri konsert jelajah 'Love Yourself' mereka di Nagoya, Jepun pada 12 Januari selain akan membuat persembahan di Singapura dan Bangkok.

Baca : Konsert Love Yourself: Demi BTS, peminat sanggup belanja RM2,000 sehari
Baca : Harga tiket RM28,000 sekeping untuk tonton BTS di Singapura