PENGACARA dan penyanyi Hunny Madu memberitahu anak lelakinya, Adam Musa kini dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) bagi menjalani pembedahan jantung, pada Isnin.

Menurut Hunny, 34, berkata, anak lelakinya bakal menjalani prosedur Stent PDA buat kali kedua.

Terdahulu Adam yang kini berusia tujuh bulan pernah menjalani prosedur yang sama sejak dia dilahirkan.

Penyakit yang dihidapinya itu dipanggil Double Inlet Left Ventricle.

"Anak kami Adam Musa yang kini berusia tujuh bulan sekarang dimasukkan ke IJN untuk menjalani pembedahan kedua Stent PDA sejak lahir.

"Dia dilahirkan dengan keadaan jantung yang kompleks dan perlu menjalani beberapa lagi rawatan dan pembedahan bagi memastikan jantungnya membesar dengan baik.

"Saya tidak minta banyak, doakan agar kesihatan Adam Musa kembali baik dengan jantung yang kuat, Insya-ALLAH, amin," coretnya.

Sejurus perkongsian Hunny mengenai kesihatan anaknya di Instagram, rata-rata peminat dan pengikutnya tersentuh.