PENYANYI tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengakui banyak menerima cadangan daripada pihak luar untuk dia melaksanakan tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) kepada badan-badan lain bagi membantu golongan yang kurang bernasib baik.

Siti Nurhaliza, 40, berkata, aktiviti CSR yang dilaksanakan menerusi kempen SimplySiti Di Hati sejak 2011 itu menerima respons positif dalam kalangan masyarakat.

"Memang ada cadangan daripada pihak-pihak lain juga. Ini kerana mereka nak saya bantu juga. Cuma, sebelum ini saya pernah berbincang dengan SimplySiti untuk kita fokus (kepada pesakit jantung).

"Doakan saya ada rezeki lebih lagi agar saya boleh buat CSR dengan lebih banyak. Bukan sahaja terhad kepada Institut Jantung Negara (IJN), tetapi kepada pesakit-pesakit kronik yang lain," katanya kepada Gempak.

Baru-baru ini, Siti melancarkan kempen SimplySiti Di Hati 2019 yang dijalankan selama dua bulan sehingga Disember depan bagi mengumpul dana sebanyak RM70,000.

Dana melalui konsep 'membeli sambil menderma' itu untuk disalurkan kepada Yayasan Institut Jantung Negara (IJN) bagi menanggung kos rawatan lima pesakit kanak-kanak yang kurang bernasib baik.

"Dengan setiap pembelian produk SimplySiti serendah RM120, sama ada di butik fizikal atau menerusi Astro Go Shop, sebahagian wang itu akan disalurkan bagi membantu kanak-kanak yang kurang bernasib baik di IJN," katanya yang turut melancarkan single Terang sempena kempen tersebut.

Sejak dilaksanakan pada 2011, kempen SimplySiti Di Hati sudah membantu seramai 14 kanak-kanak pesakit jantung.