Zairil Khir Johari merancang untuk melangsungkan perkahwinannya dengan Dyana Sofya Mohd Daud menjelang hujung tahun ini.

Kedua-dua ahli DAP itu bertunang dalam satu majlis yang diadakan di Hotel Kinta Riverfront di sini, hari ini.

Zairil, 36 tahun, ketika ditemui pemberita menzahirkan perasaan gembiranya berikutan majlis pertunangannya yang berjalan dengan lancar dan tanpa sebarang masalah.

Segak berpakaian baju Melayu serba berwarna 'peach', Zairil turut meluahkan rasa syukurnya kerana pertunangan itu turut mendapat sokongan dari kedua belah ibu bapa.

"Saya hanya ingin kata saya sangat gembira, kita semua sangat gembira, keluarga saya dan Dyana dan sudah tentu ini adalah acara peribadi untuk kedua-dua keluarga.

"Kami menghargai jika anda boleh menghormati majlis ini kerana ini bukan majlis umum, tetapi pada masa sama saya mengucapkan terima kasih kepada semua orang kerana hadir.

"Sebarang komen lanjut, saya akan buat pada masa lain," katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan.

Zairil merupakan Ahli Parlimen Bukit Bendera manakala Dyana adalah bekas setiausaha politik kepada penasihat DAP, Lim Kit Siang, dan juga pernah bertanding untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan pada 2014.

Sebelum ini, kisah dan spekulasi mengenai hubungan pasangan itu hangat diperkatakan susulan beberapa keping gambar intim yang tular di media sosial, tetapi ia tegas dinafikan oleh kedua-dua pihak.

Ketika itu, Zairil masih berkahwin dengan Noor Dahlia Hamzah tetapi mereka sudah bercerai Oktober lalu.

Bagaimanapun, semua tanda tanya terjawab apabila Zairil menyampaikan berita pertunangan mereka di Facebook semalam, lantas mendapat reaksi positif netizen yang menyampaikan ucapan selamat.