Kejayaan yang dikecapi dalam masa yang begitu singkat mungkin adalah angan-angan segelintir anak-anak muda.

Bagi Elizabeth Tan, penyanyi yang mula popular dari YouTube pada tahun 2013, ia adalah realiti beliau.

Namun, industri muzik tanah air tidak mudah seperti yang disangkakan.

“Setelah saya keluarkan single 'Knock Knock', ia seperti semua orang mahukan ‘Knock Knock Elizabeth Tan’. Saya bersyukur dengan kejayaan dikecapi tetapi setelah masuk industri ini, saya sedar ada banyak tekanan,” ujar penyanyi berusia 22 tahun itu.

Sebagai bintang yang ‘in’ ketika ini, Elizabeth akui orang ramai juga mempunyai harapan yang tinggi untuk beliau.

“Kadang-kadang saya rasa tertekan kerana orang ramai mempunyai harapan yang tinggi untuk saya dan ada kalanya saya rasa tidak boleh memenuhi harapan itu.

“Kalau boleh saya mahu ambil masa untuk berehat dan fokus kepada latihan vokal dan latihan persembahan pentas. Saya mahu terus memperbaiki diri saya agar saya boleh memenuhi harapan orang ramai,” katanya.

Elizabeth turut berkata selain daripada ibunya, penyanyi terkenal Faizal Tahir juga banyak membantu dengan memberikan motivasi.

Elizabeth merupakan antara artis di bawah syarikat Faithful Music milik Faizal Tahir sejak 2014.

“Dia akan suruh saya rehat kalau saya perlukan rehat. Beliau juga banyak memberi nasihat,".

Walaupun banyak cabaran di dalam industri seni tanah air, Elizabeth akui akan terus berjuang dan berikan yang terbaik.

“Saya sendiri tidak sangka akan menjadi penyanyi. Kalau boleh saya mahu menjadi hos televisyen atau pelakon. Tetapi saya bersyukur dengan apa yang ada dan saya akan terus ‘go with the flow’,” katanya.

Antara nasihat yang diberikan oleh Elizabeth kepada mereka yang ingin menjadi bintang YouTube dan penyanyi rakaman adalah untuk terus menjadi diri sendiri dan harus menjadi seorang yang bijak ketika membuat keputusan.

“Anda perlu mempunyai teman-teman yang bagus, jangan mudah percaya orang di sekeliling dan tahu fakta anda sebelum menandatangani apa-apa perjanjian,” kongsi Elizabeth selepas #AwaniChat yang merupakan sesi soal jawab yang dikendalikan secara eksklusif di Facebook Astro AWANI.