Ella menyeru agar peminat di Malaysia bersama-sama membantu karya seni tempatan dengan membasmi aktiviti cetak rompak.

Ella yang popular dengan jolokan 'ratu rock negara' bakal muncul dengan album terbaru September ini dan tidak mahu perkara yang berlaku ke atas rakan seangkatannya Wings, terjadi kepada dirinya.

“Saya amat bersimpati dengan nasib yang menimpa Wings baru-baru ini, dan berharap peminat semua memahami dan membantu mengembalikan semula karya mereka.

"Saya berdoa agar perkara yang sedih dan mengecewakan itu tidak terjadi kepada saya,” kata Ella ketika ditemui di sidang media bersempena Showcase Ella yang akan diadakan di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur pada 22 June ini bermula jam 9 malam.



Temubual penuh bersama Ella

Tiket showcase Ella dijual dengan harga RM40.

Persembahan selama sejam itu akan dihiburkan dengan lapan lagu lama dan baru dari Ella.

Ella yang sudah lama tidak muncul dengan mana-mana persembahan, bakal berbuat demikian bersama kumpulan baru, Sparrow King.

Sparrow King yang selama ini aktif di dalam arena Indi tanah air, akan menyanyikan beberapa lagu dari album pertama mereka seperti 'Jenkudi' dan 'Intripetasi' sebagai pembuka persembahan Ella nanti.

“Ini adalah kerjasama Ella yang pertama bersama Sparrow King dan sebagai seorang berpengalaman dalam industri muzik, ia bagaikan tanggungjawab Ella dalam menyokong dan membantu generasi baru seperti Sparrow King” jelas Ella yang sudah mewarnai dunia hiburan selama hampir 29 tahun.

Dalam pada itu, dalam sidang media yang sama, Sparrow King yang diketuai Faiz berkata setiap 10 peratus dari hasil penjualan album mereka akan didermakan kepada tabung Yayasan Kanser Malaysia.

“Ini yang membuatkan Ella tertarik untuk bekerjasama dengan Sparrow King kerana kebajikan yang dilakukan mereka,” kata Ella yang sebelum ini banyak terlibat dengan beberapa aktiviti amal bersama Yayasan Kebajikan dan Bulan Sabit Merah Malaysia.

Ella akan mucul dengan album terbaru terbitan Universal Music yang akan memuatkan 10 buah lagu baru termasuk single bersama artis Indonesia, Anji.

Dalam perkembangan lain, Ella turut merancang mengadakan konsert solonya dan percutian bersama peminat pada tahun ini.