Pengarah "The Hobbit" Peter Jackson berkata detik paling mengecewakan buatnya sepanjang pembikinan trilogi Tolkien itu adalah apabila terpaksa berhadapan dengan kerenah pihak kesatuan sekerja di New Zealand dan menyebabkannya hampir sahaja menukar lokasi penggambaran filem itu ke Britain.

Jackson, yang akan menayangkan filem itu di Wellington esok, berkata, sewaktu kemuncak pertikaian itu, mereka telah meninjau lokasi sekitar Scotland dan England sebagai alternatif.

Di dalam benak pemikirannya ketika itu merasakan adalah amat mengecewakan sekiranya latar belakang cantik panorama New Zealand tidak dapat digunakan untuk filem kali ini.

Pengakuan itu dibuat sewaktu diwawancara sebuah stesen radio.

Namun katanya lagi pertikaian berjaya diselesaikan apabila kerajaan New Zealand mengambil langkah meminda undang-undang untuk mengurangkan kehadiran pegawai kesatuan sekerja di lokasi penggambaran selain memberikan insentif kepada kesatuan sekerja.

Ini demi memastikan produktiviti industri itu.

"In bukan detik paling menggembirakan buat saya,” kata pengarah The Hobbit itu.

Seperti trilogi sebelumnya, filem The Hobbit digunakan oleh kerajaan New Zealand untuk mengembangkan industri pelancongan negara itu dengan menggunakan tema ‘Middle Earth’.

"The Hobbit: An Unexpected Journey" akan mula ditayangkan di seluruh dunia Disember ini.

Manakala "The Hobbit: The Desolation of Smaug", pada Disember 2013 dan "The Hobbit: There and Back Again" Julai 2014 nanti.