Pelakon dan pengarah popular Erma Fatima tidak peduli dianggap kebudak-budakan apabila membayar saman dengan duit syiling 5 sen sebelum menukarkannya kepada wang kertas satu ringgit.

Penerbit dan pengarah itu menyifatkan tindakannya sebagai salah satu cara untuk memberi pengajaran kepada pelakon Rabecca Nur Al-Islam.

Rabecca memulangkan semula duit syiling 5 sen yang diterima daripada Erma sebelum menerima duit RM1 pula sebagai bayaran saman bernilai RM11,200.

Selain itu, Erma turut memberikan senaskhah Al Quran yang diselitkan dengan sekeping kad ucapan khas.

Erma juga menolak perbuatannya itu sebagai protes membantah keputusan mahkamah yang tidak menyebelahi dirinya.

Dia menegaskan kekalahannya berpunca kerana tiada notis berkenaan pemecatan Rabecca dari produksi sebuah drama bersiri.

“Ia merupakan satu pengajaran kepada produser lain kerana untuk menamatkan khidmat seseorang pelakon, produser perlu menghantar notis. Kekalahan saya di mahkamah adalah kerana tidak menghantar notis tersebut.” jelas Erma.

Ditanya sekiranya Erma masih terbuka untuk bekerjasama dengan aktres itu, ini jawapan Erma.

“Tidak mungkin. Buat apa saya perlu bekerjasama dengan pelakon sebegitu?” ulasnya.

Sementara itu, Rabecca bertindak menyumbangkan keseluruhan wang bayaran saman tersebut kepada mangsa banjir di Kuantan.