Bukan mudah berlakon teater, apatah lagi melakonkan watak istana. Bagi pelakon, Erra Fazira, dia mengakui membawa watak Lela Wangsa dalam teater Takhta 3 Ratu, agak sukar buat dirinya. Pertama kali melakonkan watak sebegitu, Erra terpaksa membiasakan diri dengan bahasa “lama” dan gerak-geri seorang serikandi demi menjayakan watak.

“Persediaan peribadi saya, memang hari-hari ulam kita dialog, sebab nak lancarkan sebutan dia tu. Dan pada masa yang sama juga agak rumit sebab kena ada aksi sedikit.

“Bila latihan tu kadang-kadang, kalau setakat bahasa lakonan kita boleh berlatih seorang diri. Tapi disebabkan ada aksi silat yang perlu saya lakonkan, kita kena regu kita kena tunggulah masa orang.”

Erra merupakan salah seorang barisan pelakon untuk teater Takhta 3 Ratu, terbitan syarikatnya sendiri, Erra Fazira Entertainment dengan gabungan Awie Entertainment milik Awie dan Rumah Karya Citra Sdn. Bhd. milik Erma Fatima.

Selain sebagai penerbit, Erma Fatima turut menyumbangkan bakat seni sebagai pengarah untuk teater Takhta 3 Ratu ini.

Menurut Erra, Erma sebagai pengarah banyak membantu dirinya mengembangkan watak dan mencapai potensi di pentas teater. Pastinya banyak perbezaan berlakon untuk drama televisyen dan layar perak berbanding dengan berlakon teater.

Erra akur, dirinya perlu banyak berlatih terutama dari segi skrip, di mana dia cuba menghafal skrip pada setiap peluang yang ada.

Ketika ditanya mengenai adegannya bersama Awie, yang memerlukan mereka untuk berpelukan, Erra menyatakan bahawa kedua-dua pihak profesional dan beliau sendiri secara peribadi telah menyatakan kepada pengarah untuk mengurangkan aksi tersebut.

Walaupun tidak selesa, Erra tetap profesional dan tidak menganggap ia sebagai tugas sebagai seorang pelakon.

Erra akan beraksi di pentas teater untuk Takhta 3 Ratu bersama barisan pelakon lain seperti Izreen Azminda, Azri Iskandar, Remy Ishak, dan Awie.

Takhta 3 Ratu akan dipentaskan di Istana Budaya bermula 13 hingga 22 Disember 2014.