NAMA bekas legenda komedi Bill Cosby kembali hangat setelah hakim di Pennsylvania pada Selasa memutuskan dia perlu dibicarakan atas tuduhan melakukan serangan seksual ke atas seorang wanita di kediamannya di Philadelphia pada 2004.

Hakim Elizabeth McHugh memutuskan demikian selepas prosiding yang berlangsung selama tiga jam di Norristown berpendapat mahkamah mempunyai bukti kukuh untuk Cosby berdepan perbicaraan.

Lapor The Washington Post, setakat ini 58 wanita telah tampil ke hadapan dengan dakwaan pernah dirogol pelawak terkenal itu.

Majoriti mereka berkongsi kisah di majalah utama Amerika Syarikat (AS), termasuk untuk majalah New York.


BACA: Cosby akan dibicara atas tuduhan seksual - Hakim

Cosby merupakan nama besar dalam dunia penyiaran dan pernah diangkat sebagai ikon komedi.

Sejak memulakan kerjayanya pada awal 1960-an, dia sudah terlibat dalam bidang penyiaran televisyen, filem, album komedi, album muzik dan penerbitan buku.

Berikut adalah beberapa fakta ringkas tentang Cosby.

1. Keluarga

Cosby dilahirkan pada 12 Julai 1937 di Philadelphia, Pennsylvania, Amerika Syarikat.

Dia berkahwin dengan Camille Hanks Cosby pada tahun 1964 dan mempunyai lima anak iaitu Erinn Chalene, Ensa, Erika Ranee, Evin Harrah, dan Ennis.

2. Pendidikan Awal

Walaupun pada awalnya Cosby berhenti pengajian di peringkat menengah, Bill Cosby tetap menerima Diploma Sekolah Menengah (High School Diploma) menerusi pembelajaran jarak jauh pada 1956.

Dia menerima Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Temple pada tahun 1971.

Cosby meneruskan pendidikannya di peringkat Sarjana di Universiti Massachusetts pada tahun 1971 dan Doktor Falsafah (Pendidikan) dari universiti sama pada 1976.

3. Kerjaya ‘stand-up comedy’

Cosby menerima biasiswa untuk belajar di Universiti Temple pada 1961.

Pada masa sama, dia cuba mengasah bakatnya dalam komedi sehingga memutuskan untuk berhenti seketika daripada pengajiannya di Universiti Temple.

Cosby terus memulakan kerjayanya dalam bidang ‘stand-up comedy’ di Philadelphia dan kemudian di New York.

Dia juga berjaya membuat persembahan di beberapa kota besar di AS seperti Chicago, Las Vegas, San Francisco dan Washington DC.

Dia turut dijempat ke rancangan The Tonight Show di saluran NBC pada 1963.

4. Album komedi dan muzik

Setahun kemudian, Cosby melancarkan album komedi bertajuk Bill Cosby Is A Very Funny Fellow… Right! terbitan Warner Bros Records.

Secara keseluruhannya, dia telah menerbitkan 22 album komedi. Yang terbaharu ialah Bill Cosby: Far From Finished pada 2013.

Selain itu, dia pernah menghasilkan 15 album muzik dari 1967 hingga 2010.

Singlenya yang paling berjaya ialah ‘Little Ol’ Man (Upting – Everthing’s Alright)' pada tahun 1967. Ia menduduki tangga ke-4 carta Billboard.

5. I Spy

Cosby mula berlakon dalam siri drama televisyen saluran NBC bertajuk I Spy pada 1965.

Ia merupakan siri TV pertama yang menampilkan pelakon kulit hitam sebagai watak utama.

Walaupun pada awalnya ia ditolak beberapa bandar di Amerika Syarikat, drama itu menjadi antara drama paling popular pada tahun itu.

6. The Cosby Show

The Cosby Show
Cosby melancarkan sitkom The Cosby Show pada 1984 di mana dia mempunyai lebih kuasa daripada segi aspek produksi dan kreatif termasuk jalan cerita dan penulisan skrip.

Latar belakang watak-watak di dalam The Cosby Show adalah berdasarkan kehidupan sebenar Cosby.

Rancangan itu menerima rating yang tinggi, termasuk diiktiraf oleh Nielsen sebagai rancangan nombor satu untuk beberapa musim.

Petikan daripada siri The Cosby Show. -YouTube Patrick Lucky

7. Filem

Setelah The Cosby Show tamat pada 1992, Cosby mula berlakon dalam lebih banyak filem. Antaranya Ghost Dad (1990), The Meteor Man (1993), dan Jack (1996).

Dia pernah ditemu ramah dalam dokumentari arahan Spike Lee bertajuk 4 Little Girls pada tahun 1997.

Sebelum itu, antara filem yang pernah dibintanginya ialah Hickey & Boggs (1972); Uptown Saturday Night (1974); Let’s Do It Again (1975); Mother, Jugs & Speed (1976); A Piece of the Action (1977); dan Hey, Hey, Hey it's Fat Albert (1969)

Sedutan daripada program "Hey, Hey, Hey it's Fat Albert." -YouTube txactor2000

8. Penulis buku

Cosby turut menceburi bidang penulisan buku. Antara buku karyanya ialah Fatherhood (1986), Times Flies (1987), Kids Say the Darndest Things (1998), Congratulations! Now What? A Book for Graduates (1999), dan I Didn't Ask to Be Born (But I'm Glad I Was) pada tahun 2011.

9. Anugerah

Cosby menerusi drama I Spy telah menerima tiga anugerah Emmy dalam kategori lakonan dari tahun 1966 hingga 1968.

Dia turut memenangi Emmy untuk The Bill Cosby Special.

Rakaman persembahan komedinya turut diiktiraf Anugerah Grammy.

Selain itu, dia turut menerima pelbagai pengiktirafan lain, antaranya Anugerah Pencapaian Seumur Hidup seperti Bob Hope Humanitarian Award dan Presidential Medal of Freedom yang dianugerahkan oleh George W. Bush ketika beliau memegang jawatan presiden pada 2002.

10. Kontroversi serangan seksual

Cosby pernah dituduh dalam beberapa kes serangan seksual di awal kariernya. Namun pada 2014, ia hangat diperkatakan di media AS setelah beberapa wanita tampil berkongsi kisah hitam mereka.

Pada Julai 2015, muka depan majalah New York menampilkan 35 wanita yang mendakwa dirogol pelawak terkenal itu.

Fokus utama majalah yang diterbitkan setiap dua minggu itu adalah memberi tumpuan kepada kisah-kisah dakwaan mangsa.

Mahkamah memutuskan Cosby perlu dibicarakan atas tuduhan melakukan serangan seksual ke atas seorang wanita di kediamannya di Philadelphia pada 2004.
BACA: 35 wanita dakwa dirogol Bill Cosby tampil di muka depan majalah 'New York'

Februari lalu, McHugh memutuskan bahawa pendakwa raya boleh meneruskan tuduhan serangan seksual terhadap Cosby sekali gus mengetepikan usaha peguam belanya bagi menolak kes itu.

Sekiranya disabitkan kesalahan, Cosby boleh dihukum penjara maksimum lima hingga 10 tahun dan denda AS$25,000 (kira-kira RM102,600).