Empat selebriti wanita Malaysia akan terbang ke Palu, Indonesia bagi mengikuti 'My Hope Hero' dan Malaysia Outreach Volunteer Experience (MOVE) untuk program Misi Dapur Kaseh.

Misi yang disertai Fara Fauzana, Zara Zya, Jihan Muse dan juga Shila Amzah itu merupakan fasa ketiga selepas kejadian tsunami yang telah melanda Palu pada 28 September tahun lalu.

Menurut Fara, yang mewakili My Hope Hero, untuk misi kali ini mereka memberi tumpuan kepada pemerkasaan wanita selain memberikan perkhidmatan pemulihan trauma kepada mangsa tsunami di sana.

“Ini merupakan fasa ketiga selepas fasa pertama dan kedua dijalankan, untuk kali ini kita akan memfokuskan kepada 'women empowerment' sebab tu anda boleh lihat empat personaliti yang berbeza dari bidang masing-masing ke sana untuk membantu misi ini,” katanya ketika ditemui di Astro Awani.

Tambahnya,mereka bukan sahaja menjalankan aktiviti seperti pemulihan trauma dan juga memasak yang akan dijalankan malah mereka juga akan bantu untuk membuat pemeriksaan kesihatan, bantuan dari segi ekonomi, bantuan baik pulih masjid dan pelbagai aktiviti lain yang akan diadakan di sana nanti.


Penglibatan mereka berempat bukan sahaja untuk membantu mangsa tetapi juga untuk memberi pendedahan kepada selebriti lain serta masyarakat di luar sana supaya mereka juga akan berminat dan mempunyai kesedaran untuk menyertai misi sebegini untuk fasa yang akan datang.

Keempat-empat personaliti itu akan bertolak ke Palu pada 19 Januari ini dan akan menetap di sana sehingga 24 Januari 2019.