SEPERTI yang dilaporkan sebelum ini, pasangan pelakon Fasha Sandha dan Aidil Aziz bakal disatukan pada penghujung Mac.

Tidak mendedahkan tarikh sebenar yang lebih spesifik, khabarnya merpati dua sejoli itu bakal mengakhirkan perjalanan cinta mereka di jenjang pelamin pada hujung minggu ini... betul ke?

Mula berkenalan ketika bergandingan dalam sitkom Mamu Mami Gosip, mereka menjalin hubungan rapat sebelum memutuskan untuk mengikat tali pertunangan.

Akhirnya, Fasha melangsungkan ikatan pertunangan dalam satu majlis sederhana dengan Aidil pada 18 November 2018.

Difahamkan, mereka bakal bernikah di kampung halaman Fasha yang terletak di Perlis Indera Kayangan.

Majlis resepsi di belah keluarga pengantin lelaki pula akan diadakan di kampung halaman Aidil yang terletak di Rembau, Negeri Sembilan pada April ini.

Ini merupakan perkahwinan pertama untuk Aidil dan kedua untuk Fasha. Sebelum ini, Fasha pernah berkahwin dengan Rizal Ashram Ramli pada 27 April 2012 dan bercerai pada 20 Januari 2016.

Hasil perkahwinan, mereka mempunyai dua orang anak, Putra Rayfal Ramli, 5 dan Putri Raysha Jemaima, 4.

Pastinya ramai peminat setia Fasha dan Aidil tidak sabar mahu menantikan majlis perkahwinan mereka.

Masakan tidak, Fasha dan Aidil kelihatan secocok dan sama cantik sama padan, bagaikan pinang dibelah dua...

Kami di Gempak mendoakan agar ikatan perkahwinan yang bakal dibina oleh mereka kekal sehingga ke akhir hayat, Insya-Allah...