Pelakon tempatan, Fasha Sandha telah membuat laporan polis ke atas bekas suaminya, Rizal Ashram Ramli di Balai Polis Ampang, Selangor pada petang Isnin.

Fasha dipercayai mengambil tindakan tersebut berikutan gangguan yang dialaminya daripada Rizal, lapor beberapa portal berita pada Selasa.

Ketika dihubungi Astro AWANI hari ini, pelakon berusia 32 tahun yang sedang menjalani penggambaran drama telenovela 100 episod berjudul, Lara Aishah itu enggan untuk mengulas secara terperinci tentang dakwaan itu.

Namun, Fasha tidak menafikan mengenai laporan polis yang dibuat.

“Maaf, saya tidak dibenarkan memberi sebarang komen buat masa ini di atas arahan peguam saya, Encik Zulkifli Che Yong.

“Segalanya saya serahkan kepada peguam saya,” kata Fasha ringkas kepada Astro AWANI menerusi aplikasi WhatsApp.

Portal Mstar hari ini melapor, Rizal, 40, sering memasuki kediaman Fasha tanpa kebenaran dan menganggu kehidupan wanita itu.

Fasha kemudian mengambil tindakan itu sebagai perlindungan diri.

Fasha dan Rizal mendirikan rumah tangga pada 27 April 2012 dan bercerai talak satu di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutan pada 20 Januari lalu.

Mereka dikurniakan sepasang cahaya mata, Putra Rayfal Ramli dan Putri Raysha Jemyma.

BACA: 'Perkahwinan bahagia perlu ada restu keluarga' - Fasha Sandha

BACA: Saya tak bercadang kembali bersama Jejai atau keluarganya - Fasha Sandha

BACA: Anak saya mungkin tidak dapat semuanya, tetapi mereka ada ibu - Fasha Sandha