Susulan pertemuan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said Keruak bersama ahli-ahli persatuan penggiat seni filem tanah air pada Selasa lalu, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) telah memutuskan beberapa mekanisme baru dalam penganjuran Festival Filem Malaysia (FFM) ke-28.

Antaranya dengan memperkenalkan kategori Anugerah Filem Terbaik Nasional, sebagai anugerah utama kebangsaan kepada filem terbaik yang dihasilkan rakyat Malaysia menggunakan Bahasa Malaysia, sebagai bahasa pertuturan filem.

Pengerusi Finas, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib berkata anugerah itu adalah selaras dengan kedudukan Bahasa Malaysia sebagai Bahasa Kebangsaan dalam Perlembagaan Malaysia.

Beliau juga berkata bagi kategori Anugerah Filem Terbaik Malaysia FFM28, akan diberikan kepada filem terbaik yang dihasilkan oleh rakyat Malaysia dengan menggunakan sebarang bahasa yang dituturkan oleh rakyat Malaysia sebagai bahasa pertuturan filem.

"Bagi Kategori Pengarah Terbaik dan Lakonlayar Terbaik bagi Filem Bukan Bahasa Malaysia telah dimansuhkan dan semua filem akan bertanding dalam kategori tersebut tanpa mengira bahasa.

"Anugerah bagi kategori-kategori lain yang sebelum ini dipertandingkan tanpa mengira bahasa adalah dikekalkan," tambahnya dalam satu kenyataan hari ini.

BACA: FFM28: Anugerah Filem Terbaik terbuka untuk semua - Salleh Said

BACA: Industri filem negara perlu tinggalkan isu remeh untuk berjaya

BACA: FFM28: Pembahagian kategori utama mengikut bahasa dipalit kontroversi

Finas berharap berharap semua pihak menerima keputusan ini tanpa prejudis dan polemik selari dengan objektif utama FFM

Pada pertemuan tersebut, turut dihadiri wakil-wakil Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA), Persatuan Seniman dan Persatuan Penerbit TV Malaysia (PTVM).

Mohd Khusairi berkata, pihak persatuan telah menerima baik pencerahan yang diberikan oleh pihak kementerian dalam pertemuan itu, berlandaskan semangat untuk terus memartabatkan industri kreatif tanah air selain mempertahanakn kedaulatan Perlembagaan Malaysia

"Finas berharap berharap semua pihak menerima keputusan ini tanpa prejudis dan polemik selari dengan objektif utama FFM sebagai pengiktirafan kerajaan kepada pencapaian dan kecemerlangan karyawan industri filem negara,"katanya.

Sebelum ini, Datuk Seri Salleh mengumumkan penyertaan untuk kategori Filem Terbaik pada FFM28 dibuka kepada semua penggiat seni tanpa mengira bahasa.

Berikutan keputusan itu, tiga kategori dalam kumpulan Bukan Di Dalam Bahasa Malaysia iaitu Filem Terbaik, Pengarah Terbaik dan Lakon Layar Terbaik pada FFM28 dimansuhkan.

Kontroversi tercetus apabila penganjur FFM28 iaitu Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) memperkenalkan pengasingan karya Filem Terbaik Bukan Dalam Bahasa Malaysia yang mendapat bantahan pelbagai pihak termasuk ahli politik dan tokoh korporat.

FFM28 bakal berlangsung selama tiga hari bermula 1 September dengan acara kemuncaknya di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di ibu negara pada 3 September.