Trespassed, filem arahan anak tempatan, Ho Yuhang memenangi gelaran Filem Terbaik di Anugerah Emerging Voices 2015.

Majlis anugerah itu yang julung-julung kali dianjurkan oleh The Financial Times dan Oppenheimer Funds berlangsung di New York awal pagi tadi waktu tempatan.

Malam kemuncak itu mempertandingkan lebih 800 penyertaan daripada 65 buah negara di seluruh dunia.

Ho Yuhang membawa pulang wang tunai USD40,000 dan pengiktarafan dunia setelah menewaskan filem Kush dari India, Endless Nameless (Thailand) dan The Sea (China).

“Filem terpilih dikagumi panel juri dengan kreativiti dan bagaimana filem itu mewakili suara daripada negara masing-masing,” kata editor bersekutu Financial Time, Michael Skapinker yang juga merupakan pengerusi panel juri.

Selain Yuhang, Chigozie Obioma membawa pulang anugerah fiksyen menerusi “The Fishermen” dan Cristina Planas (Vultures) membawa pulang anugerah seni.