Ternyata judul filem hebat yang dibikin semula tidak mendapat sambutan seperti yang diharapkan.

Itulah yang terjadi pada filem Ben-Hur, apabila terkeluar dari senarai lima filem dengan kutipan tertinggi pada Isnin, dengan jatuh ke kedudukan keenam ketika ia masih dalam minggu tayangan pembukaan.

Pada Ahad, penerbitnya Paramount melaporkan filem yang diberi sentuhan baharu daripada produksi klasik tahun 1959 itu, hanya menduduki tangga kelima dengan kutipan kecil iaitu sekitar AS$11.35 juta.

Namun begitu, jumlah kutipan rasmi setelah dinilai semula cuma menunjukkan angka AS$11.2 juta, sekali gus meminggirkan filem itu daripada kedudukan lima filem terbaik.

Filem Pete’s Dragon pula mengisi kedudukan itu dengan kutipan AS$11.3 juta pada minggu kedua, sementara Suicide Squad dengan mudah menjuarai carta box-office dengan kutipan AS$20.9 juta.

“Khabar semakin tidak baik untuk Ben-Hur. Filem yang besar sepatutnya tidak memulakan tayangan di bawah carta lima terbaik. Filem ini tidak dapat dijual,” ujar penganalisis media kanan comScore, Paul Dergarabedian.

Penerbit Mark Burnett dan Roma Downey gagal ‘memujuk’ penonton walaupun sudah mendapat sentuhan pengarah Timur Bekmambetov, selain aktor Jack Huston yang sedaya upaya menghidupkan semula watak yang dahulunya dipegang oleh Charlton Heston.

Nampaknya, masih banyak yang perlu diharapkan oleh pihak produksinya, memandangkan untuk membuat penggambaran adegan perang bersama pedati sahaja, Ben-Hur sudah menelan kos AS$100 juta.