Filem berjudul 'Lee Chong Wei: Rise of the Legend' bukan sekadar filem untuk ditonton tapi mampu menjadi inspirasi buat seluruh rakyat Malaysia, kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata filem biopik yang akan menemui penonton di pawagam Golden Screen Cinema (GSC) pada 15 Mac ini memaparkan apa yang pernah dikatakan oleh Datuk Lee Chong Wei bahawa bakat sahaja tidak mencukupi untuk menjadi pemain badminton terbaik.

Katanya, kisah hidup pemain di ranking kedua dunia itu perlu menjadi iktibar dan inspirasi kepada rakyat khususnya generasi muda yang meminati sukan terutama badminton.

"Chong Wei pernah beritahu saya, bahawa bakat sahaja tidak cukup. Kata Chong Wei semua yang main di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) ada bakat tapi apa yang buat dia terbaik adalah kesediaannya untuk bekerja lebih keras dan keinginan untuk jadi yang terbaik.

"Malam ini kita saksikan kisah seorang lagenda tanahair, kisah hidup seorang wira Malaysia yang akan beri inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia," katanya pada majlis tayangan perdana sedunia filem Lee Chong Wei di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, malam tadi.

"Chong Wei telah menjadi hero kepada Malaysia dan kisah mengenainya akan menjadi bualan pada generasi akan datang. Filem pengkisahan ini dapat bina inspirasi kepada semua," katanya.

Pada majlis tayangan perdana itu, Khairy antara yang menyertai acara permaidani merah bersama-sama Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria dan Chong Wei serta isteri Datin Wong Mew Choo dan dua anak lelaki, Kingston dan Terrance Lee.

Turut sama dalam acara itu sebelum tayangan bermula ketua jurulatih perseorangan lelaki negara Datuk Misbun Sidek, Datuk Jailani Sidek dan Rahman Sidek.

Sementara itu, Misbun, yang juga watak utama dalam kejayaan Chong Wei, berkata beliau yakin tayangan filem berdurasi 133 minit itu mampu memberi gambaran jelas mengenai sukan badminton di mata rakyat Malaysia.

"Dengan adanya filem ini, ia akan beri banyak pengertian dalam arena sukan badminton untuk masa depan," katanya.

Nada yang sama disuarakan bekas jaguh beregu negara Jailani yang berharap agar ibu bapa di negara ini terus memberi sokongan kepada anak mereka yang mahu menceburi sukan badminton.

"Kepada ibu bapa yang punya anak minat dalam badminton, filem ini dapat bantu kita untuk bagi motivasi dan galakkan kepada anak agar berjaya dalam badminton.

"Mereka (anak-anak) patut contohi Chong Wei yang sentiasa mengharumkan nama negara," katanya.

Datuk Rosyam Nor, yang memegang watak Misbun, pula berkata sejarah bukan sahaja tercipta dengan tayangan perdana di hadapan 20,000 penonton tetapi juga rakyat dapat menghayati detik kejayaan jaguh badminton negara itu.

Pengarah filem Teng Bee pula berkata beliau berbangga dengan kehadiran penonton malam ini yang mencerminkan semangat kenegaraan yang tinggi.

"Saya bangga sebagai rakyat Malaysia," katanya yang teruja dengan sambutan daripada masyarakat berbilang kaum yang sama-sama hadir untuk tayangan perdana itu. -- Bernama