Filem "OlaBola" yang mula ditayangkan 28 Januari lalu menerusi 120 pawagam di seluruh negara dan Brunei, berjaya mengutip RM 8 juta dalam tempoh 13 hari.

Menurut satu kenyataan media hari ini, sambutan meriah bagi minggu kedua tayangan ini didorong oleh reaksi para peminat yang menontonya sejak 28 Januari lalu.

Media sosial juga telah memainkan peranan yang penting dengan memberi impak yang besar kepada penonton apabila pengguna memperkatakan mengenai filem ini.


Difahamkan, secara keseluruhan, "OlaBola" berjaya mendapat melebihi 200 juta pendedahan di media sosial.

Manakala, trailer filem itu telah mencecah jumlah tontonan sebanyak 1.6 juta di Facebook dan YouTube, setakat ini.

OLABOLA
Kredit Gambar: Astro Shaw

Selain itu, rangka promosi yang masih giat berjalan juga menjadi dorongan untuk penonton masih berminat untuk menonton filem tersebut.

Berlatarbelakangkan era 1980-an, "Ola Bola" merupakan kisah kejayaan tentang keberanian dan semangat bersatu yang memberi inspirasi kepada barisan pemain bola sepak Malaysia untuk bangkit dari kekecewaan dan muncul menjadi wira negara.

Filem yang diarahkan oleh pengarah hebat Chiu Keng Guan ini merupakan satu perjalanan inspirasi yang dijangka akan menambat hati para penonton Malaysia.

Ola Bola dibintangi oleh JC Chee, Luqman Hafidz, Saran Kumar Manokaran, Marianne Tan, Katrina Ho, Bront Palarae dan Frankie Lee.