Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) menjelaskan 70 peratus Bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan menjadi syarat dalam kategori Filem Terbaik Festival Filem Malaysia ke 28 (FFM28).

Ketua Pegawai Eksekutif PFM, Pansha Nalliah berkata syarat tersebut dikenakan demi memartabatkan bahasa kebangsaan dalam filem tempatan pada masa kini dan akan datang.

"Bagi lain-lain bahasa akan diambil kira dalam kategori Filem Terbaik Festival Malaysia ke-28 (Bukan Bahasa Malaysia). Secara langsungnya kategori tersebut diatas akan melibatkan kategori Pengarah Terbaik dan Lakon Layar Terbaik," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut Pansha, PFM memandang serius mengenai kontroversi pentaksiran kategori Filem Bahasa Malaysia dan Filem Bukan Bahasa Malaysia yang menjadi perdebatan dalam kalangan penggiat industri.

"Memandangkan PFM telah diberi tanggungjawab bagi mengawal selia penjurian FFM28-2016, Ahli Jawatankuasa PFM telah mengambil keputusan sebulat suara melantik Nancie Foo sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penjurian FFM28-2016," ujarnya.

Tambahnya, PFM dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bekerjasama mencari mekanisme yang praktikal untuk masa depan industri filem tempatan dengan mengambil kira Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan juga bahasa-bahasa lain.

"Satu pendekatan perlu dilaksanakan bagi mengekalkan identiti yang berimejkan Filem Nasional berpandukan kepada Perlembagaan Negara kerana Malaysia terdiri dari berbagai bangsa, budaya, bahasa dan agama," ujarnya lagi.

Penganjuran anugerah berprestij itu menyaksikan buat kali pertama pencalonan bagi Filem Terbaik, Pengarah Terbaik dan Lakon Layar Terbaik dibahagikan kepada dua iaitu bagi 'Filem Dalam Bahasa Malaysia' dan 'Filem Bukan Dalam Bahasa Malaysia'.

Pembahagian tersebut mencetuskan perdebatan apabila banyak pihak mempersoalkan mengenai rasional di sebalik langkah itu yang didakwa sebagai rasis dan bercanggah dengan matlamat perpaduan.