Pembuat filem Baahubali 2 berharap dapat memaparkan kesan khas terbaik yang dapat memikat hati penggemar filem Hollywood, dengan visual seolah-olah daripada filem epik fantasi.

Petugas animasi yang terbabit kini bekerja sehingga awal pagi demi memenuhi kehendak penerbit.

"Kalau seni sesuatu yang mudah, semua orang akan melakukannya," kata Pete Draper, pengasas Makuta VFX, yang bertanggungjawab mengadun aksi pelakon dengan imej CGI.

"Semua bahagian mempunyai cabaran tersendiri. Waktu bekerja kami sangat sibuk, kami hanya selesai tugasan setiap hari jam 4 pagi," katanya.

Baahubali 2 dikatakan filem dari India yang paling dinanti-nantikan abad ini. Filem Baahubali: The Beginning yang ditayangkan pada tahun 2015 mendapat pujian penonton, justeru penerbit, S.S Rajamouli berharap sambungannya akan menjadi lebih baik.

Mengambil inspirasi dari filem Ben Hur dan The Ten Commandments, Rajamouli menyimpan hasrat filem itu nanti akan setanding dengan produksi luar seperti filem-flem adiwira Marvel dan DC.

"Mereka ada bajet yang besar, bintang-bintang ternama dan studio yang membantu penerbitan filem.

"Tapi jika mampu membawa 10 peratus konteks India, dengan cerita kita sendiri dan adiwira sendiri, kita boleh bersaing," kata Rajamouli dalam satu temuramah di Hyderabad.

Untuk membantu kos agar tidak melebihi bajet AS$67 juta, kerja-kerja penerbitan dibahagikan kepada 35 studio di seluruh dunia.

Pada 2016, filem pecah panggung di India jatuh kepada 99 bilion rupee, satu penurunan dari 101 bilion pada tahun sebelum itu.

Namun dengan satu siri televisyen, penstriman video animasi, buku komik dan kemungkinan filem ketiga akan diterbitkan, Baahubali mungkin jawapan kepada apa yang dikehendaki penonton di India.