Perhimpunan yang khusus untuk semua rakyat Malaysia bagi memupuk perpaduan dan keharmonian bakal diterjemah dalam bentuk sebuah acara hiburan dan gaya hidup.

Dinamakan Freedom Festival, ia adalah platform untuk menyaksikan pelbagai persembahan muzik, mencuba variasi pilihan makanan yang menarik, selain menyertai aktiviti yang menarik perhatian ramai.

Penaung bagi acara ini adalah Timbalan PErdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail manakala Pertubuhan Prihatin Harapan Insan merupakan badan bukan kerajaan (NGO) rasmi bagi festival tersebut.

Bakal berlangsung pada 3 November depan bersamaan hari Sabtu, Freedom Festival yang dianjurkan oleh syarikat pengurusan acara Bsynclive Sdn. Bhd. itu merupakan platform muzik dengan pelbagai aktiviti untuk seisi keluarga.

Festival tersebut akan diadakan di Bandar Malaysia, Sungai Besi, Kuala Lumpur bermula pukul 10 pagi hingga tengah malam.

Pemilihan Bandar Malaysia yang menempatkan tapak lapangan terbang pertama di negara ini sebagai lokasi penganjuran begitu signifikan dengan matlamat festival. - Astro AWANI

Pesta untuk semua

Pihak penganjur, Bsynclive yang diwakili Adam Sofian dan Shamil Yusof menyatakan bahawa penganjuran acara berkenaan diadakan bagi menghimpunkan semua peringkat masyarakat berbilang kaum sekali gus memupuk perpaduan untuk semua pengunjung.

Adam menambah bahawa penganjuran festival sepanjang hari itu akan diselitkan dengan pelbagai aktiviti menarik untuk pengunjung antaranya pembukaan gerai makanan, pameran seni dan karya grafiti, pameran pesawat udara dan persembahan artis.

“Kami sentiasa percaya rakyat Malaysia ada kebebasan untuk meraikan perpaduan tidak kira dalam apa jua bentuk sekali pun.

“Menerusi penganjuran Freedom Festival ini, kami sangat berharap agar pengunjung yang datang dapat menikmati acara yang disediakan tidak kira muzik, makanan, gerai jualan dan pameran. Sekali gus dapat merasai nikmatnya perpaduan antara semua bangsa.

“Oleh kerana itu Freedom Festival tidak dikenakan sebarang bayaran kerana kami mahu pengunjung hadir dan menikmati acara yang disediakan dengan bebas,” ujarnya yang meletakkan sasaran kehadiran seramai 50,000 pengunjung pada hari tersebut.

Bagi acara muzik, Freedom Festival membariskan nama-nama artis popular yang akan membuat persembahan pada hari itu bagi menarik lebih ramai pengunjung untuk hadir memeriahkan suasana.

Antaranya Hujan, Kugiran Masdo, Yuna, Datuk Zainal Abidin, Bittersweet, Reshmonu, Aman RA, Salam Musik, Plague of Happiness, DJ Blink, Pesawat, Mafidz dan Ryot Jones.

Tarikan lokasi

Ditanya tentang lokasi, Shamil menjelaskan, pemilihan Bandar Malaysia dibuat kerana tempatnya yang unik dan mempunyai tarikan tersendiri.

Hal ini kerana, ia merupakan lapangan terbang pertama dibina di negara ini dan merupakan lokasi ikonik bagi rakyat Malaysia sendiri.

"Bandar Malaysia mempunyai nilai sentimental buat rakyat Malaysia sebab di sini terdapatnya kapal terbang tertua negara iaitu Rajawali yang mempunyai sejarah besar untuk negara. Ia juga akan dibuka kepada pengunjung pada hari itu.

“Malah di sini ada pelbagai kemudahan mesra acara yang akan memudahkan perjalanan festival itu berlangsung sepanjang hari,” kata Shamil.

Kumpulan terkenal Hujan yang bakal membuat persembahan pada hari itu juga menyifatkan himpunan pemuzik lama dan baharu di atas pentas sama juga boleh menepati objektif penganjuran festival.

Sebarang maklumat lanjut berkenaan Freedom Festival, sila layari www.freedomfestivalmalaysia.com.

Bagi pengunjung yang hadir pada hari tersebut, penganjur ada menyediakan perkhidmatan bas ulang-alik dari Pasar Seni ke lokasi festival selain khidmat pengangkutan Grab.