Presiden Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (GAFIM), Jurey Latiff Rosli menjelaskan tindakannya memuat naik status tentang kepincangan dalam penganjuran dan pencalonan Festival Filem Malaysia (FFM) di Facebook adalah bertujuan untuk menarik perhatian ramai tentang isu yang sedang berbangkit.

Sebagai teraju persatuan, Jurey berkata beliau punya tanggungjawab untuk meminta penjelasan terutamanya apabila Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) meluahkan rasa tidak puas hati tentang pencalonan FFM tahun ini terutamanya dalam kategori Pengarah Terbaik.

Presiden FDAM, Othman Hafsham, sebelum ini mengkritik penganjuran FFM yang disifatkan bertentangan dengan peraturan yang telah dipraktikkan selama bertahun-tahun.

Antara peraturan tersebut ialah pelakon atau pengarah perlulah menjadi ahli persatuan terlebih dahulu jika ingin dicalonkan.

Sebagai contoh, seorang pelakon hendaklah menjadi ahli SENIMAN, seorang Pengarah menjadi ahli FDAM dan seorang pekerja menjadi ahli PPFM (PROFIMA).

Menurut Jurey, apa yang menjadi isu kini adalah calon bagi kategori Pengarah Terbaik di mana ada di antaranya bukan ahli mana-mana persatuan.

Beliau juga mempersoalkan tindakan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) yang menganjurkan FFM secara bersendirian tanpa pembabitan GAFIM seperti mana sebelum ini.

Jurey turut memberitahu FDAM ada membuat mesyuarat tergempar pada Selasa. Namun buat masa ini beliau belum menerima sebarang keputusan daripada pihak mereka.

"Tetapi mungkin ada tindakan drastik daripada mereka memandangkan mereka kini merasakan seperti tidak diendahkan," kata Jurey.