GAUN mutiara yang dipakai Lupita Nyong'o ketika menghadiri majlis Anugerah Oscar ke-87 Isnin lalu telah dicuri.

BBC melaporkan busana rekaan Calvin Klein itu dicuri dari Hotel London di West Hollywood sewaktu Nyong'o keluar dari bilik.

Menurut kenyataan pihak hotel, mereka sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa di Los Angeles melalui pemeriksaan rakaman CCTV di premis tersebut.

Namun timbul kekeliruan tentang bila gaun itu sebenarnya dilaporkan hilang, sama ada dicuri pada malam Selasa atau pada siang Rabu.

Direka oleh Francisco Costa untuk Calvin Klein, gaun bertatah mutiara asli itu memerlukan 25 orang untuk menjahit sejumlah 6,000 mutiara Akoya dan mengambil masa selama 10 minggu untuk disiapkan.

Gaun disemat mutiara itu dipercayai bernilai USD150,000 (kira-kira RM542,000) dan dinobat sebagai antara gaun terbaik pada Oscar tahun ini.

Pelakon kelahiran Kenya itu, yang membawa pulang anugerah Oscar untuk Pelakon Pembantu Terbaik tahun lepas, memberitahu Associated Press yang dia mahu gaun mutiara itu menjadi penghormatan kepada laut kerana ia beralun selembut dan secantik arus laut.

Tiada tangkapan dibuat setakat ini.