SELEPAS lima musim, akhirnya penonton Gegar Vaganza dapat melihat juri tetap Datuk Ramli MS atau Tok Ram memberikan standing ovation kepada peserta.

Dan peserta bertuah itu ialah Amelina.

Menyampaikan lagu Segalanya Pasti, penyanyi yang sinonim dengan irama dangdut itu tidak menjadikan tahap kesihatan yang kurang baik sebagai alasan untuk tidak memberikan persembahan terbaik.

Dalam komennya, Ramli memberitahu biarpun sakit dan mempunyai masalah dengan suaranya, Amelina tetap memberikan komitmen sepenuhnya sewaktu sesi raptai.

"Saya suruh dia balik dan pergi jumpa doktor. Dalam keadaan tidak sihat, dia tetap menyanyikan lagu menggunakan key asal.

"Dia bertanggungjawab terhadap nyanyian dan persembahannya, kerana itu dia layak dapat standing ovation daripada saya," kata Ramli.

Dua juri lain, Datuk Khadijah Ibrahim dan Nash juga tidak ketinggalan memberikan standing ovation, malah Khadijah sempat memaklumkan mahu membawa Amelina ke konsertnya di Esplanade, Singapura, minggu depan.

Amelina sebelum ini dilaporkan mengalami masalah kesihatan sehingga membuatkan dia hilang suara beberapa hari sebelum konsert minggu ketiga, pada Ahad.