Mimbar Akhir Pencetus Ummah 2015 yang berlangsung malam tadi telah menyaksikan PU Syed ditabalkan sebagai juara program realiti dakwah untuk musim ketiga itu.

Kemenangannya itu menepati ramalan banyak pihak yang sebelum ini telah pun menjangkakan kemenangannya selepas beraksi baik dan konsisten sepanjang 7 minggu bersaing dalam Pencetus Ummah 2015.

Dengan kemenangan ini, PU Syed atau nama sebenarnya, Syed Moh Bakri Bin Syed Ishak yang berasal dari Kuantan, Pahang berjaya memenangi hadiah berupa wang tunani RM100,000 beserta trofi sumbangan Astro.

Sedikit kejutan berlaku apabila PU Amin yang disebut-sebut bakal memberikan saingan kepada PU Syed hanya menduduki tempat keempat dan bukannya gelaran naib juara seperti dijangka umum.

Gelaran untuk naib juara itu diraih oleh PU Taha manakala PU Zaid yang berjaya memberi persembahan yang baik dalam malam kemuncak itu tadi menduduki tempat ketiga.

Untuk naib juara, tempat ketiga dan keempat mereka telah meraih wang tunai RM10,000 beserta trofi.

Mimbar Akhir Pencetus Ummah telah bersiaran dari Pusat Konvesyen Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor dan ditayangkan di Astro Oasis (106) dan Astro Maya HD (135).

Untuk malam akhir tersebut, setiap peserta telah diminta menyampaikan dua tugasan iaitu secara solo dan berduet. Untuk tazkirah berduet, setiap finalis ini telah digandingkan dengan bekas-bekas PU dari dua musim terdahulu.

Juri jemputan untuk malam akhir ini ialah YBhg Prof. Madya Dato' Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan pendakwah bebas, Ustaz Farid Ravi Abdullah disamping dua juri tetap iaitu Datuk Ustaz Kazim Elias dan Habsah Omar atau pun Abby Fana.

Antara artis jemputan yang hadir membuat persembahan ialah Mawi, Daly Filsuf, Aweera, kumpulan UNIC dan InTeam.