Selepas kejayaan persembahan komik dari Indonesia, Indra Jegel bulan lalu, kini tiba giliran seorang lagi komik dari Jakarta, Dzawin Nur Ikram untuk membuat persembahan.

Dzawin atau lebih dikenali di Indonesia dengan nama Dzawin Ranger akan membuat persembahan di Lawak Studio IOI Boulevard Puchong pada Selasa 10 November 2015 melalui persembahan Lawak Berdiri dan pada Khamis 12 November 2015 di PJ Live Arts melalui slot Cerita Malam Jumaat.

Dzawin yang sudah berkecimpung dalam dunia standup comedy sejak 2011 sudah membuat persembahan di serata Indonesia sehinggalah bakatnya dicungkil di dalam program Standup Comedy Indonesia 2014 musim ke-4. Selain menjadi komik sepenuh masa, Dzawin juga seorang penulis karya-karya yang bergenrekan komedi.

Dalam kedua-dua persembahan beliau nanti, Dzawin akan didokong oleh persembahan-persembahan daripada komik-komik di bawah anjuran Rumah Anak Teater. Persembahan spontan improvisasi juga akan membuatkan penonton-penonton tidak kering gusi.

Melalui persembahan headliner Indra Jegel bulan lalu, persembahan yang menjelajah di Johor Bahru melalui Tahun Melawak Johor dibatalkan atas arahan pihak penganjur. Namun, dua persembahan lain Indra di Selangor mendapat sambutan luar biasa daripada peminat-peminat komedi pentas di Lembah Kelang.

Stand up Comedy Bahasa Melayu yang menampilkan Dzawin Ranger pada 10 dan 12 November ini

Dalam temubual bersama pelopor standup comedy melayu di Malaysia, Faisal Mustaffa daripada Rumah Anak Teater, beliau mengakui lapangan standup comedy di Malaysia masih baru lagi sungguhpun sudah bertapak hampir dua tahun. “Kita masih ketinggalan jauh di belakang”, ujarnya.

Oleh yang demikian, Faisal yang secara konsistennya mementaskan “open mic night” di Lawak Studio Puchong setiap Jumaat masih optimis bahawa standup comedy akan melalui eranya nanti. Apa yang lebih mustahak ialah bagi persembahan seperti standup comedy diteruskan.

Melihat kepada sambutan setakat ini, Faisal percaya standup comedy mempunyai masa hadapan yang cerah di Malaysia.

Program Komediri dan Lawak Sorang-sorang yang kini ditayangkan di televisyen merupakan kerjasama Rumah Anak Teater.

Namun, Faisal berkata, kita masih kekurangan komik sungguhpun ramai yang berminat menjadi pelawak dalam sketsa-sketsa komedi. “Bagi mereka yang berminat untuk menceburi bidang standup comedy ini bleh terus hubungi kami”, katanya mengakhiri perbualan.

Bagi mereka yang ingin menonton kedua-dua persembahan Dzawin Ranger November ini, mereka boleh menghubungi Faisal Mustaffa di talian 0122290944.