PERCERAIAN penyanyi antarabangsa, Gwen Stefani dengan penyanyi rock Britain, Gavin Rossdale pada Februari tahun lalu bukan sahaja menjadi titik kejatuhan dalam hidupnya.

Malahan, Stefani mengakui dirinya seolah-olah telah mati terutamanya apabila beliau dan Rossdale pernah dilabel antara pasangan paling romantis di Hollywood.

Mendedahkan perasaannya ketika melalui detik hitam itu kepada portal berita The New York Times, Stefani, 46, berkata beliau menyorokkan diri dari umum selama 10 minggu kerana malu hubungan yang terbina selama 13 tahun itu akhirnya tidak dapat diselamatkan.

“Saya fikir saya akan mati. Bagaimana saya nak selamatkan diri saya? Bagaimana untuk tidak menjadi murung kerana ini?,” agensi berita itu memetik Stefani sebagai berkata.

Pasangan Stefani-Rossdale mengumumkan perpisahan apabila hubungan sulit Rossdale dan pembantu rumah mereka terbongkar.

Pembantu rumah mereka yang dikenali sebagai Mindy Mann itu kini dilaporkan mengandung dan telah menjalinkan hubungan sulit dengan Rossdale selama tiga tahun.

Pendedahan tersebut merupakan kali pertama ibu kepada tiga anak ini bercerita mengenai perpisahannya kepada umum.

“Saya trauma .... tiada apa untuk disorokkan. Semua tahu saya selamanya berkahwin dan sekarang tidak lagi.

“Pada ketika itu, saya dalam perjalanan ke studio untuk album terbaru. Saya tiada kekuatan untuk pergi. Saya hanya mahu berada di atas katil dan menangis,” cerita Stefani yang akhirnya bangun menggunakan kesedihan itu sebagai inspirasi album terbarunya yang terkandung 18 buah lagu.

Penyanyi utama kumpulan No Doubt itu memberitahu bahawa beliau sekarang cuba mencari ruang positif dalam menjalani kehidupan yang semakin baik.

"Saya tidak mengatakan yang saya sudah ok sekarang. Ya, saya masih dalam proses menguatkan diri. Setiap hari adalah cabaran. Perkara itu masih merupakan kejutan tapi merupakan antara yang terbaik yang pernah berlaku dalam hidup saya,” jelas juri program realiti TV, 'The Voice' itu yang kini dilihat mula rapat dengan penyanyi country dan rakan juri program itu, Blake Shelton.

Album baru Stefani berjudul ‘This Is What The Truth Feels Like’ turut menampilkan lagi “Used To Love You” yang ditulis buat bekas suaminya.

Ia bakal berada di pasaran 18 Mac ini.