AKTRES dan pengasas Goop Gwyneth Paltrow, 45 tahun, mengumumkan sudah mengikat tali pertunangan dengan penulis skrip dan penerbit televisyen, Brad Falchuk.

Khabar berkenaan diumumkan menerusi akaun Instagram rasminya, dengan gambar hitam putih muka depan majalah Goop bersama emoji cincin berlian sebagai kapsyen.





Pertunangan pasangan berkenaan turut disahkan pegawai seranta Paltrow, Stephen Huvane pada Isnin.

Falchuk, 46 tahun, merupakan individu di sebalik siri TV popular 'Glee', siri yang diilhamkannya bersama Ryan Murphy.

Pasangan itu bagaimanapun tidak menghuraikan dengan lebih lanjut rancangan perkahwinan mereka.

Ini bakal menjadi perkahwinan kedua bagi Falchuk dan Paltrow yang sebelum ini berkahwin dengan vokalis Coldplay Chris Martin.

Paltrow bertemu Falchuck ketika di set penggambaran Glee.

Aktres terbabit terlibat dalam siri tersebut, memainkan watak guru pengganti, Holly Holiday.

Pasangan itu bagaimanapun hanya mula berpacaran pada 2014, selepas Paltrow berpisah dengan Martin.

Paltrow mempunyai dua anak hasil perkahwinan dengan Martin, Apple, 13 tahun dan Moses, 11 tahun.

Sementara Falchuk juga mempunyai dua anak daripada perkahwinan terdahulu.

Hubungan pasangan itu juga diterima baik Martin.

Paltrow pernah memuat naik gambar Martin dan Falchuk bersama-sama ketika menikmati hidangan makan tengahari.

Sunday brunch #modernfamily

A post shared by Gwyneth Paltrow (@gwynethpaltrow) on