PERCUTIAN penyanyi Hafiz Suip ke negara matahari terbit, Jepun terganggu ekoran bencana taufan yang melanda negara itu sejak Ahad lalu.

Menurut penyanyi yang terkenal dengan lagu Awan Nano itu, selepas amaran Taufan Trami dikeluarkan, mereka sekeluarga hanya duduk di dalam bilik hotel dan mengikuti perkembangan menerusi liputan berita di televisyen.

"Hari ni berita di Okinawa, Selatan Jepun telah dilanda Taufan Trami dan baru tadi kami diberitahu semua orang diarah untuk duduk di dalam bangunan sahaja.

"Alhamdulillah kami dah sampai di bilik hotel dan menanti berita dalam televisyen (TV) sebab tadi kita orang masuk TV Jepun, hahahaha... walaupun sepatah tak paham janji dapat tengok diri dalam TV Jepun.

"Ya Allah permudahkan lah urusan kami!," kongsinya menerusi akaun Instagram.

Difahamkan, Hafiz berada di negara matahari terbit itu bersama dengan isteri, Nureffy Jasreel Abdullah.

Pada Ahad, berita tempatan melaporkan Taufan Trami membadai tanah besar Jepun mengakibatkan 75 orang cedera sehingga menyebabkan gangguan sistem pengangkutan, mencetuskan amaran angin kencang, hujan lebat, tanah runtuh dan banjir.

Agensi Meteorologi Jepun berkata, taufan itu membawa angin selaju 216 kilometer sejam membadai bandar Tanabe di selatan bandar barat Osaka kira-kira pukul 8 malam waktu tempatan.

Di seluruh negara, pihak berkuasa mengeluarkan nasihat arahan perpindahan tidak wajib kepada 1.5 juta penduduk di samping menggesa mereka kekal di dalam rumah.