Kumpulan rock popular tanah air XPDC memilih untuk menggegarkan Dataran Temerloh bagi memenuhi kerinduan peminat sempena sambutan Tahun Baharu 2019 pada Isnin.

Kunjungan mereka kali ini nyata tidak menghampakan apabila hampir sepuluh ribu peminat memenuhi setiap ruang untuk menyaksikan konsert tersebut.

Hujan renyai sejak petang tidak merencatkan aksi mereka apabila penonton tidak berganjak dari tempat mereka sehingga selesai persembahan.

XPDC yang dibarisi oleh Mael, Zua, Amy dan Jeff bagaimanapun tidak menghampakan apabila memberikan persembahan memukau dengan 15 lagu popular daripada kompilasi album mereka.

Menurut pengurusnya Yazid, konsert malam Isnin itu adalah penutup bagi semua konsert XPDC bagi tahun 2018.

Jelasnya bagi tahun 2019, XPDC akan memulakan persembahan mereka pada 9 Februari ini di Di Saji iaitu Konsert Unmetal untuk peminat di sekitar Kuala Lumpur.