Filem “Jagat”, “Love, Supermoon”, “Ola Bola” dan “Redha” adalah empat filem yang layak dicalonkan dalam kategori Filem Terbaik di Anugerah Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur 2016.

Empat filem itu mengenepikan filem arahan Syamsul Yusof, Munafik yang baru sahaja diangkat sebagai Filem Terbaik Nasional dan Pengarah Terbaik di Festival Filem Malaysia ke 28 (FFM28) Sabtu lalu.

Walaupun tidak disenaraikan dalam kategori Filem Terbaik, filem arahan Ghaz Abu Bakar, Polis Evo disenaraikan dalam kategori Pengarah Terbaik bersama Shanjey Kumar Perumal (Jagat), Wan Hasliza Wan Kamarudin (Love, Supermoon), Chiu Keng Guan (Ola Bola) dan Tunku Mona Riza (Redha).

AMPFKL hanya menyenarai dua pelakon wanita dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik iaitu Nadiya Nisaa’ untuk Love Supermoon dan Junainah Lojong untuk Redha.

Kejutan yang dibuat oleh barisan pengkritik filem tempatan termasuk menyenaraikan pemenang trofi Pelakon Wanita Terbaik FFM28, Nabila Huda dalam kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di AMPFKL.

Bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik, AMPFKL menyenaraikan Jibrail Rajhula (Jagat), Namron (Redha) dan Tommy Tam (The Kid from the Big Apple).

Pemegang watak Appoi dalam filem Jagat, Harvind Raj yang tewas meraih gelaran Pelakon Kanak-Kanak Terbaik di FFM28 turut dicalonkan dalam kategori Pelakon Lelaki Terbaik dalam AMPFKL.

Tambah penganjur anugerah tersebut dalam nota penjurian tahun ini, sinema tempatan Malaysia semakin menghampiri kematian apabila karyawannya terus berdolak-dalik dan memberikan pelbagai alasan.

“Kita meraikan kedaifan (mediocrity) dan “asal-asal ada”. Kita cukup dengan berlapang dada, membuka tangan dan menyatakan, “Nah inilah filem kita wajah kita” kepada masyarakat kita dan dunia, tanpa ada rasa malu apa-apa pun,” menurut penganjur dalam nota tambahan di laman rasmi anugerah tersebut.

Penganjur turut mengakhiri nota tambahan dengan menyarankan kepada pembikin untuk merenung diri dan meneliti kekurangan diri sendiri.

“Begitu berat, amat berat, untuk mencari sesuatu yang indah dalam wayang kita sekarang. Hanya segelintir sahaja pembikin yang ingin bangun daripada tidur yang lena dan menggerakkan sanubari mereka daripada terus berlapang dada dengan keadaan yang ada.”

Senarai Calon Anugerah Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur 2016

PENGARAH TERBAIK
Shanjey Kumar Perumal untuk Jagat
Wan Hasliza Wan Kamarudin untuk Love, Supermoon
Chiu Keng Guan untuk Ola Bola
Ghaz Abu Bakar untuk Polis Evo
Tunku Mona Riza untuk Redha

PELAKON LELAKI TERBAIK
Jibrail Rajhula untuk Jagat
Harvind Raj untuk Jagat
Namron untuk Redha
Tommy Tam untuk The Kid from the Big Apple

PELAKON WANITA TERBAIK
Nadiya Nisaa untuk Love, Supermoon
Junainah Lojong untuk Redha

SINEMATOGRAFI TERBAIK
Senthil Kumaran Muniandy untuk Jagat
Chin Ting Chang untuk Ola Bola
Mohd Shah Faizul untuk Dukun Doktor Dani
Yung Chong Soon untuk The Kid from the Big Apple
Rahim Maidin untuk Munafik

LAKON LAYAR TERBAIK
Shanjey Kumar Perumal untuk Jagat
Joel Soh, Kyle Gounting, Anwari Ashraf dan Adib Zaini untuk Polis Evo
Tunku Mona Riza untuk Redha
Wan Hasliza Wan Kamarudin untuk Love, Supermoon

PELAKON PEMBANTU LELAKI TERBAIK
Kuben Mahadevan untuk Jagat
Senthil Kumaran Muniandy untuk Jagat
Bront Palarae untuk Ola Bola
Amerul Affendi untuk Dukun Doktor Dani
Harith Haziq untuk Redha

PELAKON PEMBANTU WANITA TERBAIK
Anne Ngasri untuk Love, Supermoon
Nabila Huda untuk Munafik
Nadiya Nisaa untuk Redha

FILEM TERBAIK
Jagat (A. Anandan, Pasupathi Sithamparam, Mageswari Anandan, Anbalagan Anandan, Sivanantham Perianan dan Shanjey Kumar Perumal sebagai penerbit)
Ola Bola (Najwa Abu Bakar, Tung Yow Kong dan Steven Lim sebagai penerbit)
Love, Supermoon (Tengku Iesta Tengku Alaudin, Mohamad Anizan Sarif dan Shah Hassan sebagai penerbit)
Redha (Shaby Maharom, Ku Mohamad Haris dan Tunku Mona Riza sebagai penerbit)

Pecahan pencalonan mengikut filem
Jagat - 8
Redha - 7
Love, Supermoon - 5
Ola Bola - 4
Dukun Doktor Dani - 2
Munafik - 2
Polis Evo - 2
The Kid from the Big Apple - 2