Pelakon komedi terkenal yang juga bekas Presiden SENIMAN, Harun Salim Bachik meninggal dunia dipercayai mengalami sesak nafas ketika singgah di Hentian Rehat & Rawat Gunung Semanggol (Selatan), Perak petang tadi.

Ketika itu bekas Presiden Seniman ini dilaporkan dalam perjalanan pulang dari Pulau Pinang bersama keluarganya.

Allahyarham meninggal dunia pada usia 56 tahun.

Berita ini turut disahkan oleh rakan-rakan artis yang rapat dengan Allahyarham.






Pengarah Ghaz Abu Bakar yang terkejut dengan berita tersebut turut memaklumkan bahawa Allahyarham sepatutnya memulakan penggambaran filem Angin Cinta arahannya pada Isnin ini.



Sementara, rakan seperjuangan Allahyarham Afdlin Shauki turut memuatnaik di laman Facebooknya, foto terakhir beliau bersama Allahyarham pada Jumaat lepas. Afdlin dan Harun pernah popular menerusi gabungan mereka berdua dalam kumpulan Boboi ketika mengambil bahagian dalam program lawak terkenal Maharaja Lawak Mega.

Harun salim Bachik


Harun atau nama sebenarnya Haron Aminar Rashid Salim mula dikenali melalui lakonan beliau di dalam drama bersiri Rumah Kedai yang ditayangkan di TV3 pada awal tahun 90-an.

Allahyarham turut dikenali menerusi program bersiri Oh My English yang disiarkan di Astro CERIA.

Selain berlakon beliau juga merupakan seorang penyanyi. Pernah menghasilkan satu album pada tahun 1996 yang berjudul Belilah. Lagu yang paling mendapat sambutan dalam album tersebut ialah Banjir.

Antara filem-filem lakonan beliau adalah Man Laksa, Baik Punya Cilok, dan Apa Kata Hati.

Beliau adalah anak lelaki kepada seorang pelakon zaman 50-an iaitu Allahyarham Salim Bachik.