Harun Salim Bachik terkejut dengan tindakan saman lapan artis dari Persatuan Seniman Malaysia.

Menyangkakan semuanya dalam keadaan baik bagaimanapun dia bersedia menunggu sebarang keputusan mahkamah.

Harun disaman atas kapasiti sebagai bekas presiden Persatuan Seniman Malaysia sebelum tampuk pentadbiran diambil alih Zed Zaidi.

Lapan artis itu mendakwa berlaku penipuan dalam minit mesyuarat semasa mesyuarat agung ke-14 pada 26 Mei 2012.

“Saya terkejut dengan tindakan saman ini namun tetap redha dan mengharap supaya ianya selesai dengan secepat mungkin,” kata Harun.

Bagaimanapun Harun enggan mengulas lebih lanjut mengenai saman itu memandangkan ia masih dalam proses perundingan.

Antara artis terlibat ialah Abu Bakar Omar, Sahlan Sudiran dan Mior Ahmad Zaudi.

“Itu hak masing masing nak buat spekulasi nak puji pun hak masing masing, dari pihak saya hari-hari saya berdoa supaya ianya berakhir dengan baik,” tambah Harun.

Menurut Harun, biar apa pun keputusan yang bakal diputuskan pihak mahkamah, Harun tetap akan terus menyokong seniman.