KEMATIAN Paul Walker dalam nahas jalan raya pada 30 November 2013 mengejutkan peminat pelakon yang sinonim dengan filem aksi Fast and Furious.

Bukan hanya Hollywood malah seluruh dunia meratapi pemergian pelakon bermata biru dan berambut perang itu pada usia 40 tahun. Bagi mereka Paul Walker hanya satu, tiada galang ganti.

Buat peminat Walker, anda pasti mahu mengetahui sisi lain mendiang. Atas dasar sama Paramount Network berhasrat menerbitkan dokumentari khas yang didedikasi buatnya.

"I Am Paul Walker" diarahkan Adrian Buitenhuis yang sebelum ini cemerlang menghasilkan "I Am Heath Ledger" yang mengisahkan kehidupan pelakon hebat Heath Ledger.

Bagi menjayakan dokumentari ini, beberapa kenalan rapat termasuk anggota keluarga Walker ditemu bual.

Ia antara lain bakal memaparkan minat mendalam Walker terhadap pemuliharaan hidupan laut selain penglibatannya dalam membantu mangsa gempa bumi di Haiti membina kembali kehidupan.

Jon Slusser dan Jaimee Kosanke bertindak selaku penerbit eksekutif dokumentari ini yang dijadual ditayangkan di platform Paramount Network musim panas depan.