Portal penstriman drama dan filem iFlix membuka ruang kepada tayangan drama ‘Pesan Dari Tuhan’ yang sebelum ini tidak dapat ditayangkan di sebuah stesen televisyen swasta susulan isu penapisan.

Ketua Pegawai Operasi dan Ketua Pegawai Eksekutif iFlix Azran Osman-Rani dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Twitter, terbuka kepada cadangan tersebut.

“Banyak maklumbalas dan minat untuk #PesanDariTuhan. Akan mempertimbangkan untuk @iflixMY. Apa pendapat anda? Apa lagi yang perlu kami mempertimbangkan?” tanya Azran di Twitter.


Untuk mengulas lebih lanjut tentang tweet berkenaan, Azran memberitahu Astro AWANI bahawa pihak iFlix belum membuat sebarang keputusan.

Sebaliknya, pihak iFlix akan mencuba untuk menghubungi Erma Fatima terlebih dahulu.

“Pada mulanya ramai yang tweet kepada saya. Sebenarnya saya tidak tahu tentang kandungan drama itu.

“Jadi pihak iFlix akan berbincang dengan pihak Erma Fatima terlebih dahulu.

Ditanya jika perkhidmatan seperti iFlix dapat lepas daripada kawalan ketat penapisan negara, Azran berkata perkhidmatan beliau tidak akan meletakkan kandungan yang menentang undang-undang negara.

“Namun, dalam kes ini adakah ia benar-benar isu penapisan atau isu lain? Kita perlu tahu tentang isu sebenar dahulu.

“Kemudian, jikalau ada permintaan, pastinya kita akan letak drama berkenaan di iFlix untuk memenuhi kehendak tersebut,” kata Azran.

Pengarah Erma Fatima ketika dihubungi Astro AWANI bersyukur dengan peluang tersebut sekaligus membuka peluang kepada karya tersebut untuk terus hidup.

"Alhamdulillah. Moga karya ini akan dapat peluang untuk terus hidup," jawabnya pendek.

Kenyataan Azran disambut baik pengguna Twitter dan ada di antaranya yang mencadangkan tayangan filem yang pernah dihalang penayangannya.

Hashtag #PesanDariTuhan terus meraih perhatian media sosial sejak semalam setelah pengarah filem berkenaan enggan melakukan proses suntingan semula.

Antara adegan yang dicadangkan untuk ditapis termasuk paparan pelakon wanita menayang barang kemas, pelakon lelaki yang berperanan sebagai ketua kampung membuat ucapan dan beberapa dialog yang dianggap sensitif.





Sementara itu, pelakon Sofia Jane turut mencadangkan agar wujudnya perbincangan telus antara penyiar dan pengkarya dalam menyelesaikan isu penapisan tersebut.



Memetik laporan mStar, Erma berkata pihak stesen televisyen itu memintanya untuk membuat lapan potongan membabitkan durasi siaran lebih kurang 30 minit.

"Drama tersebut bukan kena banned (diharamkam) tetapi pihak stesen televisyen meminta saya untuk memotong beberapa babak dalam telefilem tersebut yang mana saya rasa ia tidak adil bagi saya.

"Sebagai seorang pengkarya saya tidak rasa ia melanggar garis panduan dan saya tidak mahu babak itu dipotong. Jika ia dipotong jalan cerita tersebut juga akan terjejas," katanya.

Penggambaran bermula pada 3 Jun lalu dan dibintangi oleh Remy Ishak, Azhan Rani, Izreen Azminda dan Elly Suriati terbitan Rumah Karya Citra.

Ia mengisahkan tentang perebutan kuasa dan harta pusaka oleh sebuah keluarga sehingga kampung mereka dilanda musibah.