Iklan terbaru syarikat penerbangan Emirates dari negara Emiriyah Arab Bersatu (UAE) yang menampilkan pelakon Hollywood Jennifer Aniston dilihat memerli perkhidmatan yang diberikan oleh syarikat penerbangan Amerika Syarikat (AS).

Ia dilancarkan ketika beberapa syarikat penerbangan Asia Barat kian menguasai pasaran AS.

Iklan yang dimuat naik di YouTube itu bermula dengan Aniston menaiki salah sebuah pesawat milik AS dan memakai jubah mandi.

Beliau kemudian bertanyakan tentang kamar mandi.

Terkejut dengan soalan itu, kru kabin di dalam pesawat berkenaan menggelakkan Aniston dan berkata pesawat itu tiada kamar mandi sambil bertanyakan jika Aniston sekiranya mahukan tuala kecil dan sebungkus kacang.

Ternyata semua itu hanya mimpi dan bekas bintang ‘Friends’ itu bangun di Kelas Pertama dalam pesawat milik Emirates yang jauh lebih mewah.

Beliau kemudian memerli syarikat penerbangan AS sambil menikmati minuman di bar yang disediakan oleh Emirates.


Menurut laporan USA Today, iklan berkenaan dilancarkan ketika tiga syarikat penerbangan AS iaitu American, Delta dan United berhadapan persaingan sengit dengan tiga syarikat penerbangan dari Asia Barat iaitu Emirates, Etihad dan Qatar Airways.

Syarikat penerbangan AS mendakwa syarikat penerbangan Asia Barat itu menerima bantuan daripada pihak kerajaan untuk memasuki pasaran AS ketika terdapat lebihan permintaan.

Aniston menandatangani kontrak bersama Emirates pada Ogos yang dilaporkan bernilai US$5 juta (RM21.88 juta).

Iklan berkenaan dimuatnaik di laman YouTube Emirates dan kini menerima 571,777 views dan 3,472 Likes.